TIDAK ramai individu di negara ini yang dilahirkan dengan mempunyai pelbagai kemahiran. Mungkin penyanyi nasyid, Amar adalah satu-satunya individu yang mempunyai kebolehan seperti menyanyi, memberi ceramah, menulis buku dan melukis.
Namun, jangan terkejut jika dia juga kini bergiat sebagai ahli silap mata!
Menyedari irama nasyid kini semakin kurang mendapat sambutan, namun Amar bersyukur kerana tawaran membuat persembahan pentas masih lagi banyak diterimanya.
Menurut pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Islam Antrabangsa Malaysia (UIAM) itu, selain menyanyi dan memberi ceramah, dia turut membuat kelainan dengan mengadakan pertunjukan silap mata kepada tetamu yang hadir.
“Bermain silap mata adalah satu kemahiran yang memang saya minat sejak dari kecil lagi. Minat tersebut timbul kerana saya adalah seorang individu yang suka ingin tahu tentang sesuatu perkara.
“Ternyata dengan bakat bermain silap mata yang dimiliki itu juga menjadi punca rezeki kepada saya. Misalnya kalau memberi ceramah di sekolah, saya tidak ketinggalan untuk bermain silap mata dan menyanyi sebagai satu tarikan supaya persembahan saya tidak hambar,” ujarnya.
Tambah Amar, pada mulanya ramai yang sukar untuk menerima persembahan silap mata yang dilakukannya kerana tanggapan ia adalah satu perbuatan berbentuk sihir dan syirik.
Namun dengan terbitnya beberapa buah buku berkenaan rahsia silap mata yang dihasilkannya sendiri, lama-kelamaan ia semakin diterima dan ternyata persembahan silap matanya itu sering mendapat sambutan ramai.
Selain sibuk mengadakan persembahan pentas dan mengadakan ceramah motivasi, Amar juga pada masa yang sama masih mampu untuk menghasilkan buku. Sehingga kini dia telah menghasilkan sebanyak tujuh buah buku.
Antara buku-buku yang dihasilkan adalah seperti Anda Mampu Melakukannya, Dunia Kartun Motivasi Amar, 55 Silap Mata Mudah, 66 Silap Mata Praktikal, 77 Silap Mata Profesional, Tranformasi Cinta Pertama Remaja dan Rahsia Silap Mata Antarabangsa.
Tekad perjuang nasyid
Biarpun namanya kurang dikenali dalam persada hiburan tanah air, tetapi ia langsung tidak menghalang untuk penyanyi yang pernah melahirkan tiga buah album itu untuk terus bergiat aktif dalam bidang seni.
“Saya akui irama nasyid sekarang tidak lagi meriah dan album saya sebelum ini, Hikayat Cinta juga kurang mendapat sambutan. Bagaimanapun, ia langsung tidak melemahkan semangat saya untuk terus berjuang mempertahankan irama nasyid.
“Kali terakhir saya menghasilkan album adalah kira-kira empat tahun yang lalu dan kini saya sedang mengumpul lagu untuk menghasilkan album terbaru dan berkemungkinan besar akan memulakan rakaman sekitar bulan Julai nanti,” ujarnya.
Cerita Amar, dia terpaksa mengambil masa yang agak lama untuk merakamkan lagu untuk album terbarunya itu memandangkan kini dia agak sibuk dengan jadual siri jelajahnya ke sekolah-sekolah untuk memberi ceramah motivasi kepada pelajar sekolah bermula awal tahun sehingga Jun 2011.
Jelasnya, pada tahun lalu sahaja dia telah berjaya memberi ceramah motivasi kepada pelajar di 29 buah sekolah di seluruh Malaysia. Tahun ini dia menyasarkan untuk memberi ceramah kepada 35 buah sekolah.
Sementara itu, ketika ditanya mengapa dia tidak menubuhkan sebuah kumpulan nasyid seperti kebanyakan artis nasyid yang lain, Amar menjelaskan dia sebenarnya lebih selesa untuk bergerak secara solo sahaja.
Menurutnya, sebelum ini dia pernah menubuhkan sebuah kumpulan nasyid semasa di berada di alam persekolahan.
Namun, kumpulan nasyidnya itu tidak mampu pergi lebih jauh memandangkan ahli-ahli kumpulan yang lain sibuk dengan komitmen masing-masing.
“Semenjak dari sekolah menengah lagi saya memang telah bertekad untuk menjadi seorang penyanyi nasyid dan mengajak beberapa orang rakan untuk menubuhkan sebuah kumpulan.
“Namun tidak lama selepas ditubuhkan, mereka tidak dapat memberi fokus dan akhirnya saya telah ambil keputusan untuk bergerak secara solo sahaja,” ujarnya yang mula bergiat aktif dalam dunia nyanyian sejak tahun 2002.
Sehingga kini, Amar telah melahirkan tiga buah album iaitu Kiasan Naluri (2003), Diari Rindu (2005) dan Hikayat Cinta (2007) serta meraih beberapa penghargaan seperti Juara Pertandingan Akhir Nasyid Minggu Ini (2004) dan Anugerah Artis Nasyid Paling Popular 2009 pada pertandingan akhir Nasyid Minggu Ini anjuran Jakim dan RTM.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: