DALAM bidang seni, arwah Loloq atau Rosli Khamis, 49, dikenali bukan kerana imejnya tapi idea genius yang acapkali dicetuskan daripada akal fikirannya lalu diterapkan pada lirik-lirik lagu karyanya.
Sejak lebih sedekad lalu sebelum meninggal dunia tanggal 30 Januari 2008, Loloq berjaya menempatkan namanya sebagai penulis lirik gah tanah air, malah lirik lagu nukilannya mencecah 600 lirik.
Justeru, buat pertama kalinya, konsert penghargaan terhadap penulis lirik bakal dipentaskan di Panggung Seni, Istana Budaya.
Bakal berlangsung pada 22 hingga 24 April depan, barisan artis yang bakal terlibat ialah M. Nasir, Ramli Sarip, Ella dan kumpulan Spider.
Ujar Pengarah Persembahan, Lokman Ghani, idea tersebut dicetuskan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
“Sudah masanya kita menghargai penulis lirik terutama seseorang yang kreatif, penuh dengan semangat juang dan kecintaan yang tinggi terhadap muzik seperti Loloq,” katanya di dalam sidang akbar di Istana Budaya baru-baru ini.
Jelas Lokman, konsert penghargaan tersebut bakal melibatkan 60 orang terdiri dari pemuzik bekas tentera darat, artis tari kumpulan koir dari Kementerian Pertahanan.
“Seunik namanya, konsert ini akan mempunyai tiga segmen utama iaitu nyanyian lagu-lagu popular karya Loloq, sketsa pendek mengenainya serta penampilan khas M. Nasir.”
“Dalam segmen-segmen itu, perkara-perkara yang kita tidak tahu tentang arwah akan dipaparkan pada konsert itu menerusi hasil cerita kawan-kawan rapat arwah. Misalnya arwah gemar melakukan pelbagai aksi melucukan ketika menulis lirik di atas lantai,” tutur lokman.
Tambahnya: “Saya pernah berlakon dengan Loloq selama seminggu dalam drama Hujan Di Hati Kamariah arahan Fauziah Ahmad Daud tetapi sehingga sekarang drama itu tidak disiarkan di televisyen.
“Dijangkakan sebanyak 24 lagu hasil tulisan Loloq akan dinyanyikan dan untuk memudahkan penonton menghayati nukilan Loloq, lirik lagu tersebut akan dipaparkan di tepi pentas.”
Antara lirik lagu ciptaannya yang berada di dalam senarai untuk dipersembahkan ialah adalah Andalusia, Ghazal Untuk Rabiah, Mentera Semerah Padi, Apokalips, Bonda dan Aladin.
Dia turut memberitahu, konsert tersebut bakal mendapat sentuhan pengarah muzik Eddy Marzuki, penerbit Den Wahab dan penulis skrip Ad Samad.
Harga tiket konsert dijual pada harga RM65, RM85, RM125, RM165, RM205, RM295 dan RM450.
Tam Spider yang turut hadir memberitahu, mereka masih dalam proses memilih lagu-lagu yang akan dipersembahkan pada konsert itu.
“Terlalu banyak lirik yang dihasilkan oleh Loloq kepada kami. Jadi, kami memerlukan sedikit masa untuk memilih apa yang perlu dipersembahkan pada konsert tersebut,”
“Yang penting, lagu yang bakal dipersembahkan adalah terjemahan yang lahir dari isi hati kami semua terhadap Loloq yang merupakan seorang guru dan sahabat yang terbaik yang pernah kami ada,” ungkap Tam.
Akui Tam, mereka hingga kini masih ‘tempang’ dalam menghasilkan karya-karya selepas pemergian Loloq kira-kira dua tahun lalu.
Ungkap Tam, sejak mula lagi Spider menghasilkan album, Loloq akan terlibat secara penuh dalam menyumbang lirik.
“Bukan yang lain tidak bagus tapi Loloq lebih memahami dan lirik yang dihasilkan mudah saja memberi kesan kepada kami,” kata Tam sambil memberitahu, lirik Aladdin paling meninggalkan kesan terhadap kumpulan Spider.
Sekiranya Loloq masih bernafas, pastinya semalam dia menyambut ulangtahun perkahwinannya yang ke- 17 bersama isteri tercinta, Hariah Yaacob.
Meskipun tiada dan tidak pernah menyambut ulang tahun perkahwinan mereka secara luar biasa, namun bagi Hariah, Loloq adalah lelaki, suami dan ayah yang hebat dalam caranya yang tersendiri.
Ungkap Hariah, dia memberi keizinan kepada pihak Istana Budaya dan Kementerian Pertahanan untuk mengadakan konsert tersebut setelah memikir panjang.
“Saya anggap, ini adalah antara cara untuk menghargai apa yang telah dilakukan oleh Loloq. Diharap, idea-idea dalam penulisannya akan lebih dihargai pada masa akan datang,”katanya.
Mengenai sketsa yang akan diadakan, dia menyerahkan segalanya kepada kebijaksanaan pihak pengurusan untuk mencari seseorang yang menyerupai arwah suaminnya itu.
Namun secara tegas, Hariah menjelaskan, dia sendiri akan membantu memutuskan sama ada orang terpilih menjayakan watak Loloq itu sesuai atau tidak.
“Saya masih menilai skrip yang diberikan kepada saya untuk persembahan sketsa itu. Walaupun tidak akan membawa apa-apa watak, tetapi saya mahu yang terbaik dan saya akan membantu pihak bertanggungjawab untuk mengenal pasti ‘Loloq’,” katanya.
Di samping itu, dia bersyukur atas kesudian Kementerian Pertahanan yang berhasrat untuk membiayai pengajian tiga anaknya iaitu Krsty Nur, 15, Jaevn Nur, 12 dan Yasha Nur 10.
“Hingga hari ini, saya hanya bergantung kepada royalti hasil karya arwah. Tidaklah mewah tapi cukuplah untuk kami sekeluarga,” ungkapnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: