|
|
GENTING HIGHLANDS 11 Mac - Seramai 120 pemimpin pelajar dari sekolah-sekolah seluruh negara bakal menjalani rutin kehidupan yang berbeza apabila menyertai program Keluarga Angkat 1Malaysia (KA1M) anjuran Kementerian Pelajaran selama lima hari bermula hari ini.
Menerusi program itu, dua pelajar akan berkongsi satu keluarga angkat yang terdiri daripada pegawai kanan kementerian termasuk dari negeri-negeri.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd. Ghafar Mahmud berkata, program berkenaan bertujuan mengeratkan perpaduan di kalangan pelajar sekolah selain melahirkan bakal pemimpin yang berwibawa dan berkaliber.
"Ini adalah usaha untuk mendedahkan pelajar dengan cara hidup masyarakat Malaysia yang berbilang kaum. Kita harap mereka menggunakan peluang ini untuk mendalami dan memahami kehidupan masyarakat lain menerusi keluarga angkat masing-masing," katanya selepas melancarkan program itu di sini hari ini.
Menurut Abd. Ghafar, kepelbagaian budaya dalam masyarakat sepatutnya dianggap sebagai satu aset dan bukannya liabiliti kepada negara.
Jelasnya, kementerian melihat pendidikan merupakan satu asas dalam mewujudkan perpaduan di kalangan masyarakat pelbagai kaum.
Katanya, KA1M mungkin dijadikan program tahunan kementerian agar usaha menyuntik semangat 1Malaysia ke dalam diri pelajar akan berterusan.
Sementara itu Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Pembangunan Profesionalisme Perguruan), Datuk Asariah Mior Shaharuddin berkata, KA1M bertujuan meningkatkan motivasi dan daya kepimpinan pelajar terlibat.
"Kita harap mereka dapat belajar dan menyerap nilai-nilai kepimpinan yang ada pada pegawai kementerian," jelasnya.
Asariah menambah, di samping menjalani kehidupan bersama dengan keluarga angkat, para pelajar perlu mencatatkan pengalaman yang dilalui dalam buku log.
"Mereka perlu membuat catatan harian berkenaan semua aktiviti yang dijalankan bersama keluarga angkat agar ia boleh dikongsi dengan rakan-rakan di sekolah. Kita juga akan cuba mewujudkan alumni untuk mereka agar perhubungan yang terbina akan berkekalan," jelasnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: