Saturday, March 12, 2011

110 pelajar Marang sertai Kursus Kepimpinan Prauniversiti


Zakariah Ali (tiga dari kiri) menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta Kursus Kepimpinan Prauniversiti di Peladang Setiu Agro Resort, Terengganu, semalam.


SETIU 9 Mac - Seramai 110 pelajar dari Parlimen Marang yang akan menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) menyertai Kursus Kepimpinan Prauniversiti selama tiga hari yang berakhir baru-baru ini.

Program anjuran Yayasan Pelajaran Mara (YPM) itu berlangsung di Peladang Setiu Agro Resort di sini yang dikendalikan oleh TED'S Motivation and Traning Centre.

Kursus dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) dan Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia itu disertai oleh pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Sawa, SMK Mercang, SMK Tengku Lela Sengara, SMK Tun Telanai dan SMK Pengkalan Berangan.

Pegawai Seranta Wilayah Timur Bahagian Pengurusan Program YPM, Mahusin Taib berkata, kursus itu diadakan bagi mempersiapkan keyakinan pelajar bagi menghadapi peperiksaan itu.

Menurutnya, ia juga untuk membimbing mereka agar mempunyai jati diri yang kukuh dan menjadi generasi yang cekal menghadapi cabaran masa depan.

''Menerusi aktiviti seperti kemahiran merancang dan lain-lain lagi, secara tidak langsung dapat memberi manfaat kepada mereka untuk meningkatkan kecemerlangan akademik," katanya ketika ditemui di sini.

Sementara itu, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah JPNT, Zakariah Ali ketika berucap menutup kursus itu berkata, sebagai pelajar Tingkatan Enam Atas, segala kegiatan mereka seperti tingkah laku dan disiplin sentiasa diperhatikan oleh pelajar lain.

''Mereka juga diibaratkan sebagai pemimpin di sekolah, mereka kena mempunyai disiplin yang tinggi," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: