
APAKAH impresi pertama pada MPV ini? Saya tidak teragak-agak menyatakan bahawa Alza sebenarnya ialah sebuah station wagon yang dipasang dengan tempat duduk ekstra di bahagian belakangnya.
Jika anda mahukan fungsi lengkap sebuah MPV tujuh tempat duduk, lebih baik lupakan. Tempat duduk baris ketiga hanya boleh dihuni dua orang budak kecil seberat 20 kilogram atau dua ekor kucing. Jika tempat duduk tersebut digunakan, anda terpaksa memikirkan cara lain untuk menyimpan bagasi. Misalnya, letakkan sahaja pakaian di dalam beg plastik.
Namun walaupun kecil, saya gemar memandu kereta Alza kerana posisi pemanduannya yang unik. Tempat duduk jenis bench di hadapan, gear di atas papan pemuka dan brek parkir di kaki memang ergonomik.

Saya pernah bertanya kepada jurutera Perodua sewaktu Kenari RS dilancarkan beberapa tahun lalu. Mengapa model Kenari versi terakhir tersebut tidak dipasang tempat duduk jenis bench, gear kolum dan brek parkir di kaki? (mengikut spesifikasi asal Daihatsu Move). Jawapannya, mereka rasa rakyat Malaysia belum bersedia dengan teknologi tersebut. Benarkah begitu?
Apabila kedudukan gear dan brek parkir disusun sebegitu, secara tidak langsung, ruang lantai hadapan dikosongkan. Bagi sebuah MPV kompak yang saiz menjadi satu aspek kritikal, aplikasi itu memberikan ruang luas di bahagian kaki.
Satu keputusan baik yang diambil oleh Perodua adalah memasang gear jenis konvensional. Model asal Alza versi auto (Passo Sette, Boon Luminas) menggunakan gear jenis gaiter yang memang saya tidak gemari. Lebih mudah dengan satu tolokan dan pengunci di sisi sahaja.
Cuma agak sukar untuk pemandu kerana tiada lampu indikator menyala di bahagian tuil gear. Anda terpaksa mengharapkan indikasi pada meter tengah yang agak jauh untuk mengetahui kedudukan gear.
Kedudukan bentangan bacaan meter di bahagian tengah bukanlah sesuatu yang baru. Ia popular kerana memberi lebih banyak ruang di bahagian kaki pemandu. Kalau dibandingkan dengan Myvi dengan platform yang sama, ruang kaki Alza lebih luas.
Kabin Alza
Jika tidak digunakan, lebih baik lipat sahaja tempat duduk baris ketiga. Jika tidak, penumpang baris kedua akan sengsara akibat lutut yang berlaga dengan tempat duduk hadapan.

Gelongsorkan tempat duduk baris kedua ke belakang dan anda akan dapat posisi duduk yang selesa. Dalam kebanyakan kereta Perodua yang pernah dijual sebelum ini, saya tidak pernah suka dengan tempat duduknya yang terasa benar ia kereta murah dek pengurangan kos. Myvi misalnya memiliki konfigurasi posisi tempat duduk belakang dengan kecondongan yang pelik. Akhirnya anda mendapat sakit belakang jika berjalan jauh.
Namun, Alza memiliki tempat duduk yang lebih berkualiti. Model pandu uji itu dilengkapi dengan pelaras tempat duduk pemandu yang amat berguna untuk mendapat posisi pemanduan yang selesa.
Dengan lantai yang agak rendah dan bumbung yang tinggi, mungkin itu sahaja yang membuatkan anda rasa seperti memandu sebuah MPV. Cermin sisinya juga cukup besar untuk melihat sebarang objek dari belakang. Lebih bagus kalau didatangkan dengan fungsi boleh lipat untuk memudahkan ia diparkir di kawasan yang sempit.
Jika memandu Myvi membuatkan anda rasa perlu memaksa enjin untuk bergerak cepat, Alza nyata berbeza. Perbandingannya mungkin sama apabila sebuah casis lebih panjang digandingkan dengan enjin 1.5 liter, sementara Myvi dengan nadi 1.3.

Namun kebijaksanaan Alza terletak pada nisbah gearnya. Walaupun enjin 3SZ-VE itu kurang berkuasa dengan 103bhp/136Nm berbanding unit yang sama pada Rush dan Avanza (108bhp/141Nm), susunan gear yang betul menjadikan pemanduan versi automatik itu menyeronokkan.
Kuasa dihantar terus ke roda hadapan dengan cepat, gear kedua dan ketiganya juga sampai tepat pada masanya. Pemanduan stop-go menjadi mudah. Namun kuasa memecut dan mendaki tidaklah begitu mengagumkan.
Kelajuan 120 kilometer sejam (km/j) hingga 140 km/j mungkin angka yang ideal untuk kereta itu di lebuh raya. Setangki minyak 42 liternya dapat membawa saya sejauh hampir 400 km. Ia termasuklah perjalanan di lebuh raya dan dalam bandar.
Bagi sebuah kereta yang dijual pada harga RM58,990 (model asas automatik) memang Alza menampilkan satu pakej kereta bandar dan mini MPV yang mencapai sasaran.
Jika anda memiliki sebuah keluarga kecil
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: