Thursday, January 14, 2010

Zinta kritik salah faham isu janda


ZINTA (kanan) dan Cherie menghadiri sidang akhbar mengenai yayasan amanah Loomba di New Delhi semalam.

NEW DELHI – Bintang terkenal Bollywood, Preity Zinta semalam membidas salah tafsiran mengenai agama Hindu menyebabkan ramai janda yang ditindas dan diabaikan.

Bercakap pada sidang akhbar di sini sebagai duta Loomba, sebuah badan amal yang memperjuangkan hak janda, Zinta, 34, menentang amalan masyarakat India yang memaksa balu tidak berhias atau memakai pakaian berwarna-warni.

“Saya seorang penganut Hindu dan ingin menyatakan bahawa agama sering ditafsirkan oleh golongan yang berbeza pendapat manakala alasan paling besar ialah kerana sifat tamak,” kata Zinta.

Janda bagi penganut Hindu di India lazimnya diminta tidak berkahwin lagi dan mereka selalu hidup dalam kemiskinan setelah disisihkan oleh keluarga kerana dianggap membebankan ekonomi isi rumah.

Zinta yang pernah glamor dengan filem blockbuster seperti Kal Ho Naa Ho mendakwa, ramai balu di India bergelut untuk terus hidup.

Menurutnya, ramai golongan janda cuba mengelak untuk menjadi pelacur bagi menyara kehidupan.

Baru-baru ini, Zinta menamatkan satu kursus pengurusan di Sekolah Perniagaan Harvard dan dia amat dikenali sebagai salah seorang artis yang bijak berhujah. Yayasan Amanah Loomba mendapat bantuan Cherie Blair iaitu isteri bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair yang ditubuhkan pada 1998.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: