Monday, January 25, 2010

"Ular" Sebagai Kerjaya Dan Sumber Pendapatan

Fauzi Sarwani Ismail, 27, bersama beberapa ekor ular antaranya ular sawa dan katam tebu yang berjaya dijinakkannya.

BAGI Fauzi Sarwani Ismail, kerjayanya bukanlah sebarang kerjaya. Beliau menjadikan ular sebagai sumber pendapatannya.

Selain membuat pertunjukan di seluruh negara, pemuda berumur 27 tahun itu juga menawarkan perkhidmatan menangkap ular yang memasuki rumah kediaman dan bangunan.

"Seekor ular yang ditangkap, saya kenakan bayaran RM100," katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya di Kampung Alor Beruang, Sungai Soi, Kuantan.

Menurut Fauzi Sarwani, dia mula "berjinak-jinak" dengan reptilia itu sejak berusia 10 tahun lagi.

"Saya mula memegang ular sejak berusia 10 tahun, kali pertama saya memegang bangkai seekor ular yang dilenyek kenderaan. Sejak itu saya mula berani memegang dan menangkap serta mencari ular di hutan-hutan berdekatan.

"Bermula dengan hobi, kini dah jadi kerjaya saya pula," katanya.

Katanya, berbekalkan kemahiran itu, dia kemudian membuat pertunjukan bermaindengan ular di seluruh negara sejak lima tahun lepas sebagai sumber pendapatan.

"Saya membuat pertunjukan dengan bermain ular sawa, tedung selar dan ular tedung dan pelbagai jenis lagi, biasanya saya dibayar antara RM1,000 sehingga RM2,000 untuk setiap kali persembahan," katanya yang turut memiliki sebuah warung makan berhampiran rumahnya.

Fauzi Sarwani Ismail, 27, menunjukkan beberapa ekor ular yang berjaya dijinakkannya (gambar kiri) dan luka yang dialami di tangan kiri akibat terkena patukan ular tedung selar lapan tahun lepas.

Sabtu lalu dia membuat persembahan di Bukit Gambang Resort City dekat sini untuk majlis sebuah syarikat akhbar.

Walaupun mahir mengendalikan ular, pemuda itu tetap tidak terkecuali daripada diserang reptilia itu.

Kira-kira lapan tahun lepas, lengan kirinya pernah dipatuk ular tedung selar ketika dia memandikan reptilia itu.

"Selepas dipatuk, saya segera ke hospital, lengan saya ketika itu seolah-olah seperti disimbah asid," katanya yang turut memelihara lebih 100 ekor pelbagai jenis ular.

1 comment:

Tinggalkan Komen Anda Sini: