
KOTA BHARU - Kerajaan negeri Kelantan berhasrat untuk membawa pulang Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra yang sedang dirawat di Hospital Mount Elizabeth, Singapura sejak 24 Mei lalu untuk menjalani rawatan di negara ini.
![]() |
| |
Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) berkata, hasrat itu selaras dengan laporan yang dikeluarkan ahli panel perubatan yang dilantik untuk membuat pemantauan keadaan kesihatan baginda sejak dimasukkan ke hospital di republik itu.
Katanya, rumusan panel itu menyebut, Hospital Kuala Lumpur (HKL) merupakan hospital paling sesuai untuk meneruskan rawatan baginda kerana mempunyai tenaga pakar, ahli-ahli terapi, peralatan mencukupi dan Wad Diraja.
"Laporan ahli panel doktor yang diterima daripada pengerusi panel melalui suratnya bertarikh 24 Disember 2009 melaporkan Sultan Kelantan masih tidak dapat menggerakkan tangan dan kaki, daya penglihatan kurang dan percakapan terjejas.
"Baginda diberi makanan melalui tiub di perut dan diberi rawatan intensif dari segi ubat-ubatan, fisioterapi, terapi cara kerja dan terapi pertuturan.
"Baginda telah menunjukkan kemajuan hasil daripada rawatan intensif tersebut," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini semalam.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: