Monday, January 11, 2010

Pose... Ikhwan Nor!




Tinggi, tegap dan wajah eksotik. Tiga elemen ini umpama pasport memperkenalkan Ikhwan Nor dalam pentas peragaan. Lihat pesona aksinya lantas kenali hati budi supermodel baru Malaysia ini!

KELIBAT jejaka berusia 24 tahun ini setiap kali muncul di pentas catwalk, majalah atau iklan komersial sering mencuri tumpuan. Masakan tidak, seraut wajah eksotik campuran Melayu-Serani pantas membezakan Mohd Ikhwan Nor.

Lebih mesra disapa Ikhwan Nor, model berbakat besar ini semakin mendapat perhatian lantas kejayaan menempatkan dirinya di kalangan senarai A model pilihan hari ini.


Andai supermodel wanita ternama tempatan Tengku Azura, Tinie dan Amber Chia mengecap kemasyhuran dek pengaruh nama masing-masing, Ikhwan Nor sedang menyusuri haluan sama.

Selepas dimahkotakan juara Festival Model Asian di Korea Selatan pada Februari tahun lalu, jejaka tinggi lampai sekali lagi menggegarkan pentas fesyen dengan Anugerah Men Model of the Year pada Anugerah Fesyen Antarabangsa Malaysia (MIFA), akhir tahun lalu.

“Pencapaian ini bukanlah atas daya usaha sendiri. Sebaliknya, ia dibantu semua pihak terutama agensi model saya, Andrews Models serta rakan model yang banyak membantu membentuk keyakinan diri,” kata Ikhwan Nor merendah diri.



Personaliti bersahaja jejaka ini memudahkan sesi fotografi di Studio Berita Harian, Jalan Riong Bangsar, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Sikap profesional Ikhwan Nor banyak membantu merealisasikan sesi fotografi penuh santai.

Mewarnakan rambutnya keperangan, Ikhwan Nor cukup bersahaja dengan pelbagai gaya. Tanpa perlu bersusah payah mendapatkan mood, Ikhwan Nor ‘memberi’ apa saja dimahukan lensa!

“Sebenarnya, pembabitan saya dalam dunia peragaan terjadi tanpa dirancang. Saya tidak menyangka beraksi dalam dunia modeling selepas menyertai program pencarian model anjuran Elite pada 2007.

“Dari sanalah segala-galanya bermula hingga saya disunting Andrews Models,” cerita Ikhwan Nor.


Mensasarkan tiga tahun lagi untuk aktif dalam bidang peragaan, Ikhwan Nor meletakkan impian memasuki pasaran antarabangsa. Beliau bertekad melebarkan sayap dalam pentas peragaan di Eropah mulai tahun ini.

Kata Ikhwan Nor, beliau teruja menyertai pentas catwalk antarabangsa kerana mahu bekerja dengan golongan kreatif industri fesyen serta menimba lebih banyak pengalaman dalam bidang modelling.

Bagi anak muda ini, menjadi model serba boleh menuntut seseorang memburu pengalaman mencabar yang mampu memberi kepuasan pada kemudian hari.

“Saya fikir, tidaklah hingga usia mencecah 30-an saya masih lagi di pentas peragaan. Disebabkan itulah, saya meletakkan sasaran terus aktif untuk tiga tahun lagi sebelum mengucapkan selamat tinggal.

“Jika ditanya profesion yang mahu saya ceburi selepas itu... Saya sendiri belum memikirkannya. Namun, saya percaya, pendidikan yang dimiliki selama ini mampu menjamin masa depan,” katanya penuh harapan.

Mari kenali supermodel lelaki Malaysia ini...

Boleh anda ceritakan bagaimana segala-galanya bermula?

Keluarga dan sanak-saudara bersungguh-sungguh meminta saya menyertai pencarian model Elite pada 2007. Sekadar mencuba nasib, tidak sangka tuah menyebelahi saya hingga disunting agensi modeling, Andrews Models.

Ceritakan pengalaman pertama anda dalam dunia peragaan?

Bukan senang untuk beraksi di pentas catwalk dan fotografi komersial. Ini kerana kedua-duanya kesungguhan dan kreativiti model. Ketika bersama agensi model Elite dulu, saya dikehendaki membuat kemunculan di pentas MIFA 2007.

Sedangkan, ketika itu, saya masih dianggap terlalu baru dalam bidang ini. Antara sesi fotografi terawal yang dapat saya ingat ialah penggambaran majalah, Intrend. Mulai dari detik itu, saya mula teruja beraksi dalam dunia peragaan.

Apa agaknya realiti bergelar model?

Mungkin orang beranggapan bidang ini menyeronokkan. Namun, realitinya sama dan tidaklah glamor seperti pelakon dan penyanyi. Malah, kadar bayaran bagi model juga tidak sehebat selebriti popular.

Dari segi penghargaan, penganjuran MIFA setidak-tidaknya membantu mengiktiraf model tempatan serta menghargai bakat mereka.

Boleh anda kelaskan personaliti diri anda?

Saya akui sedikit pendiam. Namun ini tidak bererti saya sombong. Ini kerana sudah tabiat saya akan ‘lambat’ serasi bersama orang di sekeliling. Tetapi, apabila sudah mengenali saya, tahulah siapa Ikhwan Nor yang sebenarnya. (tersenyum).

Apakah kebuasan anda bergelar model?

Apa yang saya boleh katakan, bidang ini memang menyeronokkan. Hendak kata puas, tidaklah tetapi ia akan menjadi lebih bermakna apabila kita diiktiraf serta mendapat anugerah. Ini membuktikan bakat kita diterima pentas peragaan.

Mampukah model dari Malaysia menggegar di peringkat antarabangsa?

Tidak mustahil. Lihat saja beberapa supermodel Malaysia hari ini seperti Amber Chia, Tengku Azura dan Tinie. Mereka pernah bekerja di Eropah dan Hong Kong. Saya memasang tekad untuk maju seperti mereka.

Apa kriteria untuk seseorang bergelar model?

Sebelum kita menyertai bidang ini, kita harus sedar apa yang boleh kita tawarkan pada industri ini. Ini merangkumi pelbagai aspek termasuk ketinggian, bentuk fizikal, paras rupa serta pakej yang menampakkan kelebihan kita di pasaran model.

Inilah yang harus difahami semua orang yang bercita-cita menjadi model..

Berapa lama anda mahu terus menjadi model?

Saya meletakkan sasaran tempoh tiga tahun untuk terus aktif dan mula meneroka pentas peragaan antarabangsa tahun ini. Tidak saya nafikan, pendapatan daripada bidang modelling cukup berbaloi.

Namun, pada akhirnya, saya terima hakikat bahawa ilmu dan pendidikan kitalah yang menjamin masa depan selepas pentas catwalk ditinggalkan.


Atlit decathlon ke pentas peragaan...

MENGINTAI sisi berbeza Ikhwan Nor, jejaka ini membuka cerita pernah menjadi atlit decathlon negara.

Bukan calang-calang acara decathlon kerana atlit perlu menyempurnakan 10 disiplin sukan seperti lari 100 meter (m); 110m berpagar; 1500m; lompat jauh; lontar peluru dan lembing.

Menurut Ikhwan Nor, potensi dirinya dalam sukan decathlon dijana melalui latihan agresif di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) sebelum beliau meneruskan program sukan di Universiti Putra Malaysia (UPM).

“Saya fikir mungkin faktor fizikal menjadikan acara decathlon sesuai untuk saya. Ketika itu pula, saya memang aktif bersukan,” katanya.

Ikhwan Nor berkata, beliau kemudian menamatkan pengajian dalam bidang Komunikasi Korporat yang suatu hari nanti akan diceburinya selepas kerjaya model ditinggalkan.

Tambah anak muda ini, beliau bersyukur susuk tubuhnya menjadi aset dalam pentas peragaan.

Terus bercerita, Ikhwan Nor berkongsi pengalaman pertama kali berurusan dengan ejen jenama fesyen tersohor, Gucci dan Versace di mana setiap model dikehendaki melepasi beberapa syarat termasuk rupa, susuk badan dan fitting.

“Dua syarat iaitu rupa dan susuk badan berjaya saya lalui. Namun, tiba peringkat fitting, saya gagal melepasi bahagian bawah pinggang kerana paha saya sedikit besar.

“Ini menyebabkan saya gagal mendapat tawaran. Memanglah kecewa tetapi ia mengajar saya dalam memenuhi garis standard ukuran badan yang ditetapkan di peringkat antarabangsa,” katanya yang bangga dengan saiz ukuran badan ideal 40-32-36 miliknya


Ikhwan mengenai...

  • Lelaki dan fesyen?

    Lelaki semakin menitikberatkan soal kecantikan dan imej metroseksual terserlah. Ini petanda baik, apatah lagi lelaki sudah mahir dengan teknik mix and match!

  • Andai bukan menjadi peragawan?

    Mungkin hari ini saya menjadi jurulatih kecergasan!

  • Saat diri digoda

    Oh... lumrah dalam dunia modeling. Saya juga percaya, ramai yang pernah mengalami pengalaman sama. Bagi saya, cara terbaik ialah menolak secara baik untuk tidak terjebak dalam perangkap mereka.

  • Lelaki tertawan dengan wanita kerana...

    Senyuman wanita mampu meruntun jiwa lelaki. Seperti saya, aura senyuman wanita boleh menghilangkan rasa letih selepas seharian bekerja.

  • Sasaran 2010

    Tidak mahu berada di takuk lama. Berusaha menembusi pasaran peragaan dan fesyen di luar negara terutama Eropah.


    Profil

    Nama: Mohd Ikhwan Nor

    Umur: 24 tahun

    Tarikh lahir: 4 Disember 1985

    Tempat lahir: Kuala Lumpur

    Tinggi: 186 sentimeter

    Berat: 80 kilogram
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: