Sunday, January 24, 2010

Operasi menyelamat berakhir


SEKUMPULAN penduduk Haiti berasak-asak mendapatkan bantuan asas di Port-au-Prince semalam.

KERAJAAN Haiti menghentikan operasi menyelamat setelah 132 orang mangsa gempa bumi berjaya diselamatkan dari bawah runtuhan sejak 11 hari lepas, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam.

"Kerajaan mengisytiharkan bahawa fasa mencari dan menyelamat telah berakhir," kata Pertubuhan Koordinasi dan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB mengenai usaha menyelamat di Haiti.

Mangsa terbaru iaitu wanita berusia 84 tahun dan seorang pemuda 22 tahun ditarik keluar dari bawah timbunan runtuhan di sini kelmarin, kira-kira 10 hari selepas Haiti dilanda gempa bumi kuat.

Sejumlah 67 pasukan pelbagai negara terdiri daripada 1,918 anggota dan 160 ekor anjing pengesan menyertai operasi menyelamat di seluruh Haiti.

Walaupun bilangan mangsa yang dikeluarkan kecil, jumlah itu melebihi jangkaan awal berikutan usaha menyelamat yang terbatas akibat kekurangan kelengkapan dan kakitangan.

Setakat semalam, ratusan ribu penduduk berkumpul di sini dan beberapa bandar termasuk Jacmel dan Leogane untuk mendapatkan makanan, air, khemah serta rawatan perubatan.

Berpuluh-puluh ribu orang lagi mengambil peluang tawaran pengangkutan percuma oleh kerajaan Haiti untuk berpindah ke kawasan-kawasan yang tidak terjejas oleh gempa bumi di pulau itu.

Gempa berukuran 7 pada skala Richter yang melanda pada 12 Januari lalu membunuh kira-kira 200,000 orang, menurut perangkaan kerajaan Haiti yang dipetik oleh Suruhanjaya Kesatuan Eropah.

Jumlah mangsa yang maut di bawah beribu-ribu runtuhan pula sukar untuk dipastikan manakala sejumlah 200,000 orang dikhuatiri meninggalkan bandar raya ini yang dihuni dua juta penduduk sebelum gempa bumi berlaku.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: