Thursday, January 7, 2010

Obama marah ketua perisikan AS




WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama (gambar) semalam memarahi ketua-ketua perisikan AS berhubung kegagalan sistem perisikan sehingga menyebabkan sebuah pesawat milik Northwest Airlines yang membawa 290 penumpang dan krew nyaris menjadi mangsa serangan Al-Qaeda pada 25 Disember lalu.

Dalam satu ucapan yang disiarkan stesen-stesen televisyen AS, Obama membuat kenyataan tegas berhubung insiden berkenaan selepas beliau mengadakan satu mesyuarat tergempar dengan ketua agensi perisikan dan penasihat keselamatan di White House.

"Jelas bahawa sistem perisikan tidak berfungsi sepenuhnya. Ia tidak boleh diterima dan saya tidak akan bertoleransi berhubung kelemahan sebegini," kata Obama.

"Kita nyaris menjadi mangsa serangan. Ia gagal kerana dihalang oleh seorang individu yang berani dan bukannya kerana keberkesanan sistem perisikan," tambahnya.

Beberapa jam selepas Obama berucap, polis Yemen semalam menangkap seorang ketua penting Al-Qaeda yang dipercayai mendalangi beberapa ancaman keganasan yang menyebabkan beberapa perwakilan asing di ibu kota negara berkenaan, Sanaa ditutup termasuk Kedutaan AS.

Seorang warga Nigeria, Umar Farouk Abdulmutallab, 23, yang kini ditahan di AS , didakwa kerana cuba meletupkan pesawat jenis Airbus A330-323E di luar Detroit dengan menggunakan bahan letupan yang disembunyikan di dalam seluar dalamnya pada 25 Disember lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: