EKORAN namanya dibangkit berhubung kes cerai fasakh Mastura Bakar terhadap bekas suaminya, Datuk Muhamad Mustaffa Idrus sejak awal bulan lalu, penyanyi Noraniza Idris telah memberikan amaran kepada bekas madunya itu.
Jelas Noraniza, dia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan saman kepada Mastura sekiranya membabitkan namanya lagi dalam perbicaraan kes itu di mahkamah.
Bagi penyanyi popular etnik kreatif ini, hal tersebut telah memberi kesan kepada dirinya dan anak-anak sekaligus menjatuhkan maruahnya apabila ramai pihak mendakwa dirinya juga bercerai dengan Mustaffa disebabkan alasan yang sama.
Pada 5 Januari lalu, Mastura mendakwa Mustaffa pernah meniduri lebih 10 wanita sepanjang perkahwinan mereka, tidak adil dalam berpoligami dan banyak berfoya-foya.
“Saya hanya menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepadanya dengan mengatakan saya akan saman kalau dia sebut nama saya sekali lagi,” beritahu Noraniza ketika ditemui di ‘Majlis Penuh Rahsia’ Azwan Ali kelmarin.
Penyanyi berusia 41 tahun ini mendirikan rumahtangga dengan Datuk Mustaffa pada 3 Februari 2008 dan rumahtangga mereka hanya bertahan selama 45 hari di mana mereka bercerai pada 25 Mac 2008. Ini merupakan perceraian kali keduanya.
Sebelum ini, Noraniza pernah mendirikan rumah tangga dengan Mohd Fauzi Tajuddin atau Fareez selama 18 tahun, namun bercerai pada Mei 2006. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua orang anak, Mohd Alif Haikal, 21, dan Mohd Alfeq Haikal, 17.
Jika sebelum ini, Noraniza tidak pernah mendedahkan sedikit pun mengenai Mustaffa sejak mengaku telah bercerai dengan lelaki itu.
Namun setelah semuanya terungkai, barulah Noraniza agak terbuka untuk bercerita tentang Mustaffa.
“Terlalu pantas saya menerimanya sebagai suami. Waktu itu saya mempunyai masalah peribadi dan bisnes. Sebenarnya saya langsung tiada perasaan kepada Datuk dan mengetahuinya merupakan suami orang.
“Walaupun prinsip saya tidak akan berkahwin dengan suami orang, namun akhirnya saya terpaksa menganggapnya sebagai jodoh.
“Tetapi saya tak boleh beritahu sebab saya memohon cerai daripada Datuk. Cukuplah saya katakan yang saya sudah fobia untuk berkahwin buat masa ini dan akan lebih berhati-hati pada masa akan datang,” tutur penyanyi yang sedang popular dengan lagu Enjut ini.
Dalam perkembangan lain, Noraniza berkata dia sedang dalam proses membangunkan sebuah akademi seni iaitu ‘Tatih Seni’ di Bandar Sunway.
Akademi yang mengkhusus kepada bengkel seni tari, teater, muzik dan vokal akan beroperasi mulai Februari depan.
Noraniza juga sedang menerbitkan album terbarunya dengan kerjasama Edry Hashim. Album berkonsepkan etnik fusion ini akan memuatkan lapan buah lagu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: