Sunday, January 3, 2010

M.Nasir Ketepikan Aduh Saliha, Bakal Terbitkan Filem Baru

M.Nasir akan kembali fokus kepada penerbitan filem pada tahun ini

FILEM Aduh Saliha yang hangat diperkatakan kira-kira dua tahun lalu kini hanya tinggal nama. Sukar melupakan 'fenomena' filem arahan M.Nasir itu apatah lagi ketika itu, pencarian heroin bagi watak Saliha untuk digandingkan dengan heronya, Mawi dijalankan dengan cukup hebat.

Akhirnya, Puteri Sarah berjaya menambat hati M.Nasir untuk watak tersebut. Namun, baru 20 peratus penggambaran berlangsung, ia dihentikan kerana dikatakan kekurangan bajet dan perancangan untuk menyambung filem itu nampaknya terus senyap begitu saja.

Tidak patah semangat dengan hal itu, M.Nasir pada tahun ini nekad untuk lebih memfokuskan kepada penerbitan filem. Kata penyanyi yang baru saja selesai mengadakan konsert Bagaikan Sakti bersama Datuk Siti Nurhaliza di Esplanade, Singapura pada 1 Januari lalu, itu merupakan salah satu azam tahun barunya.

"Aduh Saliha, saya tolak ketepi saja dulu. Saya ingin fokus kepada skrip-skrip lain. Ada beberapa skrip yang pernah saya buat dulu, ceritanya lebih serius.

"Sekarang ini saya sedang merangka serba-sedikit untuk menghasilkan filem. Apa yang pasti, saya hanya akan terlibat di belakang tabir saja untuk penghasilan filem itu kelak, sebagai pengarah dan penerbit saja di bawah produksi Luncai Emas Sdn Bhd," kata M.Nasir tentang perancangan sempena tahun baru 2010 ini.

Perancangan itu masih terlalu awal untuk dijelaskan secara panjang lebar. Namun, kata 'sifu' kelahiran Kota Singa ini, walaupun dia akan memberikan tumpuan terhadap penerbitan filem, bidang muzik tetap akan diteruskannya seperti biasa.

Malah, buat masa ini, dia sedang di dalam proses penghasilan album terbarunya yang telah 20 peratus siap proses rakamannya dan kemungkinan akan dipasarkan pada Februari ini.

Dalam pada itu, ditanya tentang status konsert solonya, Konsert 1Wajah yang telah ditunda sejak pertengahan tahun lalu, kata penyanyi dan komposer terkemuka itu, sehingga hari ini dia masih belum mengetahui perkembangan projek tersebut.

Konsert anjuran Maya Maxis Creative itu sepatutnya dijadualkan berlangsung pada 25 Julai lalu di Stadium Negara, namun ia ditunda atas alasan tertentu.

Penganjur dikatakan akan mengumumkan tarikh baru konsert tersebut pada tahun ini, namun kata M.Nasir, dia sendiri tidak pasti tentang perkara itu.

"Saya betul-betul tidak tahu apa status konsert itu. Tapi, ada beberapa pihak lain sebenarnya berminat untuk meneruskan konsert itu.

"Nak kata saya kecewa, saya tidak pun rasa demikian kerana sebagai penyanyi, saya hanya membuat persembahan. Malah, saya turut menerima beberapa tawaran untuk membuat konsert solo di Singapura.

"Namun, saya memilih untuk lakukan konsert Bagaikan Sakti bersama Datuk Siti Nurhaliza," kata suami kepada pelakon Marlia Musa ini.

Ditanya adakah dia berminat andai kata penganjur yang sama itu ingin menawarkannya melakukan konsert itu lagi, ujar M.Nasir:

"Saya tidak tahu nak jawab macam mana...sepatutnya kalau dari dulu lagi mereka rasa tidak boleh buat, jadi tidak payahlah buat."

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: