![]() |
| Dr. Tzar Mohd Nizam |
ANDA minat mengembara? Pasti seronok jika dapat mengembara ke negara orang lain. Namun, tahukah anda, pengembara mudah dijangkiti
penyakit. Pengembara biasanya menghidap penyakit melalui pemakanan dan air yang tercemar, serangga atau sentuhan dengan orang yang sudah dijangkiti.
Bagaimanapun, penyakit yang membabitkan gastrousus ini mudah dicegah oleh pengembara dan mereka hanya perlu mengambil makanan dan air minuman yang dimasak serta bersih.
Lain pula untuk penyakit yang menjadi musuh utama pengembara seperti penyakit meningokokal. Ia menyerang radang selaput otak (meningitis) dan jangkitan dalam darah (septisemia).
Namun, anda tidak perlu risau kerana jika anda disyaki menghidap penyakit ini hendaklah memberitahu doktor bagi mendapat rawatan antibiotik pencegahan (chemoprophylaxis) untuk menghapuskan kuman bawaan di dalam saluran pernafasan.
Selain itu, anda mungkin dinasihat untuk mengambil suntikan vaksin meningokokal.
Pengembara dan jemaah haji atau umrah diwajibkan mengambil vaksinasi tersebut.
Golongan berisiko lain tidak diwajibkan tetapi adalah digalakkan atas pilihan sendiri Secara umumnya, tiada data lengkap mengenai jumlah penyakit ini di Malaysia. Ia tidak begitu kerap berlaku tetapi ia adalah penyakit serius yang tidak boleh dipandang ringan.
Wabak meningitis meningokokal sering berlaku di negara-negara Afrika selatan gurun sahara, kawasan yang dinamakan sebagai lingkaran meninggitis Afrika (the Sfrican 'meningitis belt')
Menurut pensyarah kanan Jabatan Mikrobiologi dan Imunologi Perubatan, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Dr Tzar Mohd Nizam, ramai rakyat Malaysia tidak mengetahui penyakit ini secara khusus.
"Mereka mungkin pernah mendengar perkataan 'meningitis' tetapi tidak pasti apakah ia sebenarnya. Meningitis adalah radang pada membran yang menyelaputi otak dan saraf tunjang. Ia boleh disebabkan oleh kuman virus, bakteria, fungus dan parasit. Neisseria meningitidis hanyalah salah satu daripada kuman bakteria tersebut. Meningitis disebabkan bakteria atau virus memang boleh berjangkit," jelasnya.
Beliau memberitahu, penyakit ini menular kerana bakteria N.
Meningitidis boleh didapati di dalam hidung dan tekak. Kira-kira lima hingga 10 peratus orang dewasa adalah pembawa kuman ini di dalam hidung atau tekak mereka.
![]() |
| Bagi bayi pula, gejala agak kurang jelas dan sukar dilihat. Bayi yang dijangkiti mungkin mengalami sawan, kelihatan tidak bermaya, muntah, merengek atau kurang selera makan. |
"Peratusan ini lebih tinggi sehingga 60 hingga 80 peratus di kalangan mereka yang tinggal sesak beramai-ramai seperti di kem latihan askar.
Titisan cecair pernafasan yang mengandungi kuman boleh dipindahkan ke seseorang melalui percakapan, batuk, bersin, ciuman atau berkongsi peralatan makanan. sentuhan cecair ini dengan tangan kemudian menyentuh hidung atau mumut juga boleh menyebabkan penularan kuman ini.
Mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah seperti bayi dan orang tua, orang yang tidak mempunyai organ kuran (spleen) atau organ kura tidak berfungsi, pesakit AIDS, pesakit sel darah putih rendah (leukopenia/ neutropenia)," jelasnya.
Selain itu, pengembara atau pelancong ke negara-negara endemik (bilangan kes sedia ada yang tinggi) seperti Afrika termasuk juga para jemaah haji atau umrah.
Tidak ketinggalan, mereka yang tinggal di kawasan padat seperti kawasan setinggan, asrama dan kem askar. Perokok dan penghidap masalah pernafasan juga lebih berisiko untuk mendapat penyakit ini.
Gejala
Dr. Tzar memberitahu, gejala-gejala penyakit meningitis meningokokal sukar dibezakan dengan meningitis akibat kuman lain. Antaranya, demam tinggi, sakit kepala, tengkuk terasa tegang, sakit mata dan kepala apabila melihat sinaran lampu (photophobia), perubahan mental, loya dan muntah.
Malah ia boleh menyebabkan ruam merah pada kulit juga boleh timbul apabila jangkitan dalam darah berlaku. Sementara itu, sawan, koma dan maut boleh berlaku dalam waktu yang singkat.
"Bagi bayi pula, gejala agak kurang jelas dan sukar dilihat. Gejala klasik seperti demam, tengkuk tegang dan sakit kepala mungkin tiada.
Sebaliknya, bayi yang dijangkiti mungkin mengalami sawan, kelihatan tidak bermaya, muntah, merengek atau kurang selera makan," katanya.
Sebelum ini, mungkin anda yang minat melancong dan mengembara tidak mengetahui penyakit ini memang serius.
Dr. Tzar menjelaskan, ia amat serius kerana boleh menyebabkan sawan, koma dan seterusnya membawa maut walaupun pesakit telah mendapat rawatan. Selain itu, kuman meningitis juga boleh melarat.
Komplikasi
"Kuman meningitis boleh melarat dan mengakibatkan jangkitan dalam darah yang serius (septisemia) sehingga menyebabkan masalah pembekuan darah (disseminated intravascular coagulation-DIC), pendarahan, kegagalanorgan-organ berfungsi dan seterusnya membawa maut.
Kadar kematian meningitis meningokol adalah antara lima hingga 10 peratus dan lebih tinggi sekitar 40 peratus sekiranya terjadi komplikasi septisemia dan DIC.
Jika pesakit terselamat sekali pun, kira-kira 10 hingga 20 peratus pesakit ini akan mengalami komplikasi lanjutan seperti hilang pendengaran, hilang anggota badan, kerosakan otak dan masalah saraf atau radang yang lain," katanya.
Tambah beliau, penyakit ini dikesan melalui ujian darah dan air tulang belakang (cecair serebrospina).
Vaksin
![]() |
| MeningokokaL menyerang radang selaput otak (meningitis) dan jangkitan dalam darah (septisemia). |
Mereka yang menjaga pesakit hendaklah sentiasa menjaga kebersihan diri seperti mengamalkan membasuh tangan selepas itu. Jika boleh, elakkan tempat-tempat sesak.
Bagi golongan berisiko pula, selain langkah-langkah di atas, mereka juga boleh mengambil suntikan vaksin meningokokal yang boleh didapati di Malaysia
"Ada beberapa jenis mengikut serogrup bakteria yang dilindungi seperti vaksin serogrup A, C dan ACYW-135. Namun, masih tiada vaksin yang berkesan bagi seogrup B. Jenis vaksin juga berbeza dari segi komponen buatannya sama ada jenis polisakarida atau jenis konjungat.
Vaksin yang wajib digunakan oleh para jemaah haji atau umrah ialah vaksin empat serangkai (vaksin tetravalent atau quadrivalent ) yang dapat melindungi para jemaah daripada bakteria serogrup A, C, Y dan W-135. Vaksin ini boleh diperolehi di hospital atau klinik kerajaan mahu pun swasta," ujar beliau.
Seperti ubat-ubat lain, vaksin ini juga mempunyai kesan sampingan tetapi jarang berlaku dan sangat minimum. Dr. Tzar menjelaskan, kesan sampingan yang kadang kala berlaku adalah demam, sakit dan tanda kemerahan atau bengkak pada tempat suntikan.
Vaksin ini berupaya untuk memberikan perlindungan selama tiga hingga lima tahun
"Kerajaan Arab Saudi mensyaratkan semua orang dari semua negara di dunia untuk mempamerkan rekod suntikan meningitis meningokokal yang sah. Tidak kurang sepuluh hari dari tarikh suntikan vaksin DNA tidak melewati tiga tahun, bagi seorang dewasa dan kanak-kanak berusia dua tahun ke atas untuk satu dos vaksin ACYW-135," katanya.
Kebanyakan negara di dunia mempunyai polisi vaksinasi bagi permohonan visa atau syarat kemasukan ke negara mereka. Para pengembara atau pelancong dinasihatkan untuk memeriksa dengan kedutaan negara terbabit mengenai perkara ini. Contohnya, vaksin mencegah demam kuning. Selain itu, vaksin mencegah demam kuning.
Pencegahan
"Tidak dinafikan pengembara dan pelancong berisiko dijangkiti penyakit. Mereka boleh mengambil kira beberapa faktor ketika ingin memilih pengambilan vaksin. Perkara-perkara yang diberi keutamaan ialah tahap bahaya penyakit serta kemudahan dan keberkesanan rawatan sedia ada. Aspek lain yang turut mempengaruhi termasuk kos, kemudahan mendapat vaksin dan keberkesanan vaksin itu sendiri. Sebagai contoh, vaksin mencegah influenza bermusim," ujar beliau.
Namun, Dr. Tzar lebih menyarankan pencegahan awal menerusi didikan kepada masyarakat.
Misalnya, inisiatif pihak kerajaan atau organisasi bukan kerajaan (NGO) seperti mengadakan kempen kesedaran, seminar, dialog, forum dan sebagainya. Selain itu, pihak media mempunyai peranan yang amat penting bagi menjayakan usaha-usaha ini dengan menghebahkan kepada umum melalui media bercetak atau media elektronik.
"Penggemblengan tenaga daripada semua pihak hendaklah berterusan untuk satu tempoh yang panjang bagi mencapai matlamat ini. Bagi masyarakat umum, antara langkah yang boleh diambil termasuk mengamalkan etika batuk dan bersin yang baik seperti menjauhi orang lain, menutup hidung dengan tisu, membuang tisu tersebut dan membasuh," katanya.



No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: