Pelajar-pelajar tahun satu SK Seri Anggerik teruja dengan tip menjaga kebersihan.

SUASANA persekolahan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Anggerik, Taman Len Sen, Cheras, Kuala Lumpur pada hari itu riuh rendah dengan kehadiran pelajar-pelajar tahun satu. Kecil-kecil dan comel-comel semuanya. Masing-masing ditemani oleh ibu bapa.
Biasanya kita akan mendengar tangisan ataupun jerit pekik pelajar-pelajar tahun satu yang mula bersekolah, namun untuk tahun ini pelajar-pelajar tahun satu di situ lebih bersemangat dan berani. Masing-masing seronok bertemu rakan baru.
Kehadiran pelajar-pelajar tahun satu SK Seri Anggerik pada hari itu juga disambut dengan majlis pelancaran kempen kesedaran dan pendidikan Antabax-Berwaspada dan Bersedia untuk Kembali ke Sekolah.

Kempen anjuran Lam Soon Edible Oils Sdn. Bhd. yang mendapat kerjasama daripada Kementerian Kesihatan itu menggesa pelajar dan ibu bapa supaya lebih berwaspada dan berhati-hati terhadap ancaman gelombang kedua virus Influenza A (H1N1).
Ia mengutamakan kebersihan tangan sebagai salah satu kaedah terbaik bagi mengurangkan risiko jangkitan, baik untuk diri, keluarga ataupun komuniti secara umumnya.
Sebanyak 15 buah sekolah sekitar Lembah Klang telah dipilih bermula dengan SK Seri Anggerik. Antara sekolah lain yang terpilih ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 8 (1), Putrajaya; Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (1) & (2), Putrajaya; Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Megah, Petaling Jaya, Selangor; Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Tasik, Kuala Lumpur dan Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Tentera Darat, Kuala Lumpur.
Cecair pencuci tangan
Selain itu Sekolah Kebangsaan (SK) Sentul 1, Kuala Lumpur; Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khai Chee, Kuala Lumpur; Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tsun Jin, Kuala Lumpur dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Puay Chai (1) & (2), Selangor juga turut serta.
Tidak terkecuali, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yuk Chai, Petaling Jaya, Selangor; Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Vivekananda, Kuala Lumpur dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Puchong, Selangor juga turut dipilih.

juga terlibat dalam sesi demonstrasi mengenai cara-cara membasuh tangan yang betul.
Program itu dijangka dapat memberi manfaat kepada lebih 25,000 pelajar.
Menerusi kempen yang dijalankan sepanjang Januari 2010 ini, tandas di sekolah-sekolah terpilih akan dibekalkan dengan cecair pencuci tangan Antabax.
Selain itu, cecair pembasmi kuman segera Antabax juga akan dibekalkan selama sebulan di kawasan tumpuan ramai seperti di kantin sekolah serta di tempat yang sukar untuk mendapat kemudahan air dan sabun seperti di dewan perhimpunan dan perpustakaan.
Di samping itu, poster dan risalah pendidikan mengenai cara mencuci dan teknik membersihkan tangan yang betul akan diletakkan di tempat-tempat strategik seperti di dalam semua bilik darjah serta kawasan tumpuan pelajar.

Ia bertujuan untuk menyedarkan dan mengingatkan mereka mengenai kaedah betul bagi mengurangkan risiko penularan penyakit berjangkit.
Menurut Pengurus Pemasaran (Bahagian Pemasaran Isi rumah dan Penjagaan Diri) Lam Soon Edible Oils Sdn. Bhd., Carmen Foo, kempen tersebut dijalankan selepas mengkaji penularan gelombang kedua Influenza A (H1N1) di beberapa negara seperti Amerika Syarikat (AS) dan Britain.
Ia menunjukkan penularan wabak itu semakin meningkat apabila pelajar-pelajar kembali semula ke sekolah selepas cuti persekolahan yang panjang.
"Sebahagian besar kanak-kanak di sekolah bandar mungkin melancong ke luar negara sepanjang tempoh cuti akhir tahun. Berkemungkinan juga ada ibu bapa pelajar-pelajar tersebut melawat negara di Hemisfera Utara yang masih bergelut dalam menangani peningkatan kes influenza A (H1N1).
"Penyediaan produk antibakteria untuk kegunaan pelajar dan kakitangan amat diperlukan bagi tujuan mendidik dan mengingatkan mereka secara konsisten pencegahan bersama wabak ini," katanya ketika ketika ditemui selepas majlis pelancaran kempen kesedaran dan pendidikan Antabax-Berwaspada dan Bersedia untuk Kembali ke Sekolah.

Pelajar-pelajar pada usia semuda itu adalah golongan yang paling mudah terdedah kepada risiko dan mereka merupakan kelompok yang memerlukan peringatan yang lebih serta tunjuk ajar mengenai cara membersihkan tangan dengan betul.
Selain itu, tahap kesedaran mereka mengenai bahaya penyakit itu amat rendah. Mereka juga tidak begitu arif mengenai langkah yang perlu diambil bagi mengurangkan risiko jangkitan.
![]() |
| |
Demonstrasi
Pelajar-pelajar tahun satu SK Seri Anggerik juga didedahkan dengan sesi taklimat dan demonstrasi mengenai kaedah yang betul bagi mencegah penularan virus A (H1N1) daripada jururawat-jururawat Kementerian Kesihatan Malaysia.
![]() |
| |
Pelbagai ekspresi ditunjukkan pelajar-pelajar tahun satu SK Seri Anggerik saat mengikuti demonstrasi yang dijalankan. Ada yang terpinga-pinga ada yang melakukannya dengan bersungguh-sungguh dan ada juga yang melihat rakan-rakan disebelah dengan meniru gaya mereka.
Sementara itu, menurut Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Kementerian Kesihatan Datuk Dr. Hasan Abdul Rahman, pelbagai langkah mudah boleh dilakukan orang ramai untuk kekal sihat seperti mengamalkan kebersihan diri yang sempurna.
Ini termasuklah kerap mencuci tangan dengan sabun dan air, menutup mulut dan hidung dengan tisu semasa batuk atau bersin, membuang tisu yang sudah digunakan, tidak keluar rumah apabila sakit, mengelak menyentuh mata, hidung dan mulut serta mengehadkan hubungan dengan individu yang sakit.
"Langkah-langkah itu mampu mengurangkan risiko penularan penyakit berjangkit seperti selesema. Penularan penyakit berjangkit seperti demam selesema juga boleh berlaku melalui sentuhan.
"Kementerian Kesihatan turut menasihati orang ramai supaya mengamalkan cara hidup sihat, mengambil diet seimbang dan senaman yang cukup untuk meningkatkan daya ketahanan diri bagi melawan penyakit," katanya.
Hasan berharap dengan terlaksananya kempen itu ia dapat menerapkan sikap menjaga kebersihan diri di kalangan kanak-kanak sebagai satu amalan berterusan.
"Kami berharap dengan menyasarkan murid sekolah rendah, Antabax mampu memberi sumbangan yang positif terhadap usaha yang dilancarkan Kementerian Kesihatan untuk mengekang penularan semua wabak penyakit berjangkit, termasuk virus A (H1N1)," kata Carmen.
Dalam pada itu, seorang bapa yang hadir pada kempen tersebut, Bahar Ithnin, 36 memberitahu, dengan adanya kempen seperti itu, ia dapat menyedarkan orang ramai terutamanya ibu bapa mengenai gelombang kedua virus Influenza A (H1N1).
"Melalui kempen ini juga, ia secara tidak langsung membuatkan saya tahu bagaimana cara penjagaan kebersihan dengan betul," katanya.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: