Sunday, January 3, 2010

Kombinasi Vanila, Coklat Untuk Rehatkan Badan, Minda

Proses urutan yang menggunakan coklat dan vanila

PENEMUAN baru di India yang menggabungkan coklat dan aiskrim berperisa vanila adalah antara urutan terbaik untuk dicuba.

Urutan yang menggunakan campuran vanila dengan serbuk koko yang menjadi ramuan untuk menjalankan sesi tersebut dapat memberikan rangsangan kepada deria-deria badan dan mewangikan bau badan.

Tambahan pula, dengan menggunakan campuran ramuan tersebut bukan sahaja memberikan pengalaman berbeza kepada kulit, tetapi dapat meremajakannya.

Sesi urutan tersebut pula diadakan di bilik yang dihiasi dengan cahaya suram bagi membangkitkan suasana dengan diiringi muzik.

Dengan taburan bunga-bunga yang terapung di atas air pula menyegarkan suasana seolah mengalu-alukan kedatangan dan bakal memberikan ketenangan.

Proses urutan tersebut akan dimulai dengan urutan kering ke seluruh badan dengan campuran serbuk koko, vanila, santan dan isi kelapa yang diproses.

Campuran bahan tersebut adalah untuk melancarkan perjalanan darah selain mempunyai khasiat penyembuhan dan untuk memperbaiki tisu badan. Semasa proses urutan berlangsung, aroma bau vanila dan coklat pula akan membangkitkan suasana.

Antara proses terakhir urutan tersebut adalah mandi dengan campuran daun khas untuk melembutkan kulit serta dapat menenangkan fikiran dan badan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: