![]() |
| Mat London (tengah) bersama jawatankuasa baru FDAM yang sesetengahnya ahlinya dipertikaikan keanggotaan mereka. |
SUDAH ada FDAM, kenapa nak tubuhkan persatuan baru? Sebenarnya ahli-ahli FDAM terdiri daripada mereka yang ada latar belakang pengarah filem dan drama. Sekarang ini yang ramainya pengarah-pengarah drama. Jadi pengarah-pengarah filem ini merasakan suara mereka didalam FDAM tidak begitu didengar. Saya berpendapat satu persatuan baru perlu ditubuh untuk menyatukan pengarah-pengarah filem ini.
Maksudnya, selama ini adakah pengarah-pengarah itu tidak bersatu? Asyik bergaduh saja kerja mereka?
Selama ini penyatuan itu nampak tidak kukuh. Kami ahli yang terdiri daripada pembikin filem sukar menyalurkan inspirasi masing-masing. Maklum sajalah, orang filem bukan majoriti didalam persatuan. Pada pendapat saya, untuk membangun, kami (pengarah filem) perlukan penyatuan dan persatuan baru adalah tempat penyatuan itu.
Buka persatuan baru selepas tewas dalam pertandingan, tidakkah ini teknik orang yang kecewa?
Bukan tindakan orang kecewa. Sebenarnya saya dan beberapa pengarah lain takut karya kami tenggelam dengan keseronokan masing-masing. Jadi kami perlu bersatu dan duduk untuk memperkatakan karya masing-masing supaya kami dapat tahu bagus atau tidak karya kami itu. Cara ini dilakukan di luar negara. Perkara itu tidak boleh dibuat dalam FDAM.
Sejauh mana pencapaian FDAM sekarang yang saudara nampak?
Sepanjang saya menjadi ahli di dalam FDAM, saya lihat persatuan ini hanya diterajui oleh penggiat TV sahaja. Saya rasa apa yang dilakukan selama ini untuk pengarah TV sahaja, orang filem terpinggir.Pendekatan itu sewajarnya diubah. Sekarang ini pun, apa yang saya nampak ialah penyatuan itu berkelompok. Orang TV dengan orang TV. Orang filem dengan orang filem. Kalau nak bersatu, benda macam ini perlu diubah.
Bagaimana kalau perjuangan ini dianggap sebagai kepentingan peribadi saudara saja?
Ini bukan soal peribadi tetapi lebih kepada sumbangan kita untuk industri perfileman negara. Jadi, sekarang ini kami harus bertindak dengan mencari formula untuk memajukan hasil karya. Kita tak boleh lagi merangkak sebaliknya kita perlu melompat kalau benar-benar nak berjaya. Apa-apa hal sekali pun kena berubah.
Melompat? Maksudnya?
Yalah... kita boleh tengok macam mana industri perfileman negara hari ini. Kita harus bergerak pantas untuk buat sesuatu. Masanya sudah suntuk. Kalau kita tidak bertindak sekarang, bagaimana kami harus bertindak balas dengan karya masing-masing untuk industri dan penonton tanah air dalam tempoh tiga atau empat tahun akan datang?
Memang serius ke nak buka persatuan baru ini?
Setakat ini saya mendapat kerjasama pengarah-pengarah seperti Errma Fatima, Aziz M. Osman, Along Kamaluddin dan ramai lagi. Jika majoriti daripada pengarah yang bersetuju untuk menubuhkan satu persatuan baru, maka ia akan dilakukan. Itupun jika mendapat sokongan majoriti. Setakat ini saya mendapat perkembangan yang baik. Kalau boleh biarlah pengarahan drama dan TV. Macam pengarah, mereka ada Persatuan Pengeluar Filem Malaysia (PFM)dan Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM). Baru senang nak fokus. Orang drama lebih faham dunia drama, orang filem dengan dunia orang filem.
Nanti banyak sangat persatuan, tetapi hasilnya tak ke mana, komen?
Macam ni. Di mana-mana persatuan pun, ahlinya ada dua golongan. Satu, ahli aktif, satu lagi ahli yang banyak bercakap saja. Dua golongan ini amat berbeza. Ahli aktif kurang bercakap tapi dia orang buat kerja. Yang masalahnya ada ahli yang banyak bercakap tapi tak buat kerja. Kalau ada ahli yang macam itu persatuan tak boleh maju. Itulah yang saya hendak lakukan dengan membawa ahli yang aktif dan boleh buat kerja saja dalam persatuan baru ni. Bila karyawan faham pendekatan kita itu, tidak timbul persoalan kenapa persatuan baru ditubuhkan.
Ada orang kata Mamat Khalid tak cermin diri, layakkah jadi presiden persatuan. Boleh komen sikit?
Kerana kami tengok cerminlah kami nak buat perubahan ini. Kami lihat pengarah-pengarah filem itu perlu bergabung untuk kekuatan mereka. Saya tak kisah kalau selepas ni ada orang nak mempertikaikan tindakan saya dan kawan-kawan menubuhkan persatuan baru ini. Keluh kesah orang yang tak puas hati itu kami anggap hanya satu perkara remeh tetapi impian kami itu besar nikmatnya bukan sebab saya nak jadi ketua. Apa yang saya risau tentang masa depan kami. Sebab itulah kami perlu berubah cepat dengan melompat. Bukannya masih nak merangkak lagi.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: