Sunday, January 10, 2010

Jika ditakdir ada jodoh apa salahnya

INSIDEN serbuan pihak berkuasa di premis hiburan tidak berlesen di Bukit Bintang malam menjelang sambutan Hari Natal Disember lalu mencalar reputasi Awal Ashaari yang selama ini bebas kontroversi.

Cerita kononnya saya merasuah polis juga tidak masuk akal. Gila... terang-terangan rasuah satu jenayah. Kenapa perlu saya kusutkan lagi keadaan dengan perbuatan menyalahi undang-undang itu?

Dakwaan saya bercium dengan Scha sungguh melampau. Saya masih waras untuk bertindak demikian depan khalayak. Isu kencing juga sengaja dibesar-besarkan walhal sudah lenguh mulut saya menjelaskan cerita sebenar.

Sukar untuk kencing bila ada yang memerhati apatah lagi saya jenis yang malu. Lebih tertekan apabila ramai jurugambar memanggil nama saya. Lagipun sebelum itu saya sudah kencing dan ia tidak boleh dipaksa-paksa. Disebabkan itu saya dibawa ke IPK dan melakukan prosedur ujian di sana dan hasilnya negatif.

Sepanjang lima tahun dalam industri macam-macam tuduhan pernah dilemparkan tetapi saya masih boleh terima. Bagaimanapun insiden ini paling berat pernah berlaku dalam hidup. Nama baik saya dan keluarga tercemar dan secara tidak langsung ia beri impak besar kepada kembara seni saya.

Saya berharap sangat ia bernoktah di sini dan berilah ruang kepada saya dan Scha bernafas. Biarpun mudah hilang semangat, saya cuba melihat apa yang berlaku dari sudut positif dan jadikannya sebagai pengajaran supaya lebih berhati-hati di masa depan.

Saya kasihan dengan Scha kerana dia sangat tertekan. Sudahlah terpaksa berdepan dengan dugaan berat sejak beberapa bulan lalu, timbul pula cerita ini. Saya tidak pernah menyalahkan Scha biarpun dia mengajak saya menemaninya memenuhi jemputan meraikan hari jadi rakannya. Insiden ini jadi pengajaran kepada kami supaya lebih berhati-hati sekali gus mematangkan dan merapatkan lagi hubungan kami.

Saya dan Scha juga dituduh menipu peminat walhal saya tidak pernah nafikan kami rapat. Sebelum ini saya pernah bercinta beberapa kali dan tidak merahsiakan perkara itu dengan teman wartawan dan peminat tetapi semuanya tidak kekal lama.

Saya kenal Scha ketika dia menyertai Dewi Remaja dan rapat selepas bertemu di Formula 1 di Singapura dan Festival Filem Malaysia ke-22. Kami selalu keluar bersama malah ketika ibu saya sakit, dia ada datang melawat.

Cuma sukar untuk saya jelaskan status kami kerana masih dalam proses kenal hati budi. Tahun ini umur saya 29 tahun manakala Scha pula 27. Ini bukan masanya untuk bermain-main lagi, cuma berilah ruang kami berkawan dulu dan andai ada persefahaman serta serasi, mungkin ia akan diteruskan ke fasa yang lebih serius.

Jika ditakdirkan ada jodoh apa salahnya, saya pun senang dengan dia. Scha gadis baik, memahami, cantik. Pendek kata semua kriteria yang ada padanya saya suka.

Perkenalan kami sedang berkembang dan keluarga pun tidak menghalang. Siapa suka, berdoalah dan mana yang tidak suka, nak buat macam mana.

Tuduhan kononnya saya orang ketiga yang merosakkan hubungan Fahrin dan Scha juga tidak adil. Kenapa pula saya dipersalahkan sedangkan kami rapat selepas mereka berpisah dan saya tidak ada kena mengena. Mereka orang paling tepat tahu apa punca sebenar perpisahan itu, tanya diri masing-masing kenapa itu berlaku.

Alhamdulillah biarpun berdepan dengan situasi pahit ini, saya masih diterima baik stesen TV dan produksi. Selepas insiden, tawaran dua filem dan tiga drama menyusul tetapi terpaksa ditolak berikutan jadual padat mengacara program Fuhh untuk TV3 dan Rentak Boly (Astro Prima).

Insya-Allah jika tiada aral kemungkinan besar saya akan mengacara sebuah program untuk TV1 dan masih menunggu peluang mengendalikan beberapa acara Astro. Harap nama saya terpilih.

Saya juga kekal sebagai duta Redbox untuk tahun ketiga dan baru menandatangani kontrak sebagai jurucakap jam tangan Roscani. Filem lakonan saya, Puaka Niyang Rapik yang menjengah pawagam 25 Februari depan.

Saya mahu lupakan insiden ini dan lalui 2010 dengan semangat baru. Moga perjalanan karier saya tahun ini lancar dan bebas kontroversi.”

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: