Tuesday, January 5, 2010

'Jantung buatan' elak kematian mengejut


serangan jantung boleh berlaku pada sesiapa dan di mana sahaja.


Setiap tahun, jumlah pesakit ke hospital akibat pelbagai komplikasi jantung melebihi 400,000 kes manakala hampir 300,000 kematian direkodkan akibat serangan jantung. Majoritinya berusia 60 tahun ke atas.

Namun kini, lebih ramai lelaki muda yang berusia kurang 40 tahun meninggal dunia kerana serangan jantung.

Fakta ini merupakan sesuatu yang membimbangkan dan perlu diberi perhatian. Ini kerana semakin hari semakin ramai rakyat Malaysia menghidap penyakit berkaitan kardiovaskular terutamanya serangan jantung .

Malah pesakit yang mempunyai masalah jantung akan berhadapan dengan kematian mengejut kira-kira empat hingga enam kali ganda lebih tinggi daripada orang normal.

Perkara ini diakui oleh Pengarah Elektropsiologi, Institut Jantung Negara (IJN), Dr. Razali Omar yang menegaskan, serangan jantung merupakan pembunuh nombor satu dunia.

"Tidak kira siapa anda, sama ada muda, tua, orang kaya atau orang miskin, pemimpin negara dan sebagainya, seseorang itu tetap mempunyai risiko serangan jantung yang disebabkan oleh pelbagai faktor terutamanya pemakanan dan tabiat buruk seperti merokok.

''Serangan jantung merupakan kerosakan pada otot jantung akibat terputusnya bekalan darah arteri koronari secara tiba-tiba. Kejadian ini berlaku apabila salah satu arteri tersebut tersumbat disebabkan gumpalan darah,'' katanya semasa mengendalikan bengkel khas bersama media di IJN baru-baru ini.

Gumpalan darah ini pula jelasnya terjadi akibat pecahnya plak ateroma dalam salur darah arteri jantung itu. Sekiranya gumpalan darah ini tidak dihilangkan dengan segera maka otot jantung akan mati dan seterusnya mengakibatkan kematian pada penghidapnya

Sehingga kini, masih belum menjumpai sebarang rawatan yang mampu mengubati penyakit berkenaan secara tuntas.

''Bagaimanapun, untuk mengelakkan kematian mengejut, kaedah Implantable Cardioverter Defibrillator (ICD) digunakan,'' katanya.

Menurut Dr. Razali, dengan teknologi terkini itu kita mampu mengurangkan kadar kematian secara mengejut.

Katanya, kaedah tersebut sebenarnya telah diperkenalkan sejak tahun 1996 lagi.

''Ia berfungsi bagi memastikan kadar degupan jantung sentiasa aktif apabila pesakit mengalami serangan jantung secara tiba-tiba dan mampu mengurangkan kadar kematian secara mengejut yang dialami oleh pesakit,'' ujarnya serius.

Jelasnya, melalui teknologi canggih itu, setiap tahun kira-kira 70 hingga 80 pesakit menggunakan kaedah tersebut di negara ini.

''Melalui kaedah ini, pengguna tidak akan mengalami kesan sampingan kerana rawatan menggunakan sejenis bahan yang diperbuat daripada titanium dengan beratnya cuma 68 gram,'' katanya.

Menerangkan lebih lanjut beliau berkata, alat itu digunakan sebagai nadi elektrik atau kejutan bagi membantu mengawal ancaman nyawa atau denyutan jantung yang tidak sekata.

''ICD mempunyai beberapa wayar dengan elektrod-elektrod pada hujung yang disambungkan kepada ruang hati,'' katanya.

Sementara itu, katanya, pembedahan kecil akan dilakukan kepada pesakit bagi meletak bahan itu di sekitar dada.

''ICD itu akan memantau denyutan jantung seseorang pesakit yang memakainya secara berterusan,'' katanya.

Jelasnya, jika alat itu mengesan satu rentak yang tidak serata dalam ventikal pesakit itu, ia akan menggunakan nadi elektrik tenaga rendah bagi memulihkan denyutan jantung kepada yang normal.

Pesakit tidak perlu merasa gusar atau takut apabila memakai 'jantung buatan' itu kerana ia mudah diuruskan tanpa perlu penjagaan yang cerewet.

Katanya lagi, di negara ini hanya beberapa hospital yang menawarkan perkhidmatan itu termasuklah IJN.

Bercerita mengenai kos pula, Dr. Razali memberitahu untuk menggunakan kaedah ICD ini, pengguna perlu membayar sekitar RM32,000 hingga RM80,000 mengikut kesesuaian seseorang pesakit.

Sementara itu, jangka masa bagi bateri ICD pula adalah selama enam bulan. Oleh itu, dalam tempoh tersebut, pesakit dikehendaki datang ke hospital untuk mengecas kembali bateri .

''Bagi pengguna, mereka dikehendaki mengecas bateri ICD ini dalam tempoh enam bulan sekali, manakala jangka hayat yang boleh digunakan ialah selama enam tahun.

''Selepas tempoh enam tahun, pengguna akan dikehendaki untuk menukar ICD kepada yang lebih baru,'' katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: