PELBAGAI spesies penyu sering kali menjadikan pantai perairan negara ini sebagai lokasi persinggahan untuk bertelur. Apa yang pasti apabila penyu terus singgah di pantai negara ia adalah satu kelangsungan survival khazanah marin itu daripada pupus.
Kehidupan penyu di perairan negara bukan sekadar untuk menjadi haiwan hiasan di dalam laut atau maskot di daratan sebaliknya ia memainkan peranan penting dalam mengekalkan sistem ekologi marin yang sihat.
Kehadiran penyu itu amat penting sekali dalam membantu memulihara industri perikanan dan pelancongan negara.
Bagaimanapun, kajian mendapati kehadiran penyu-penyu bertelur di pantai-pantai perairan negara telah berkurangan sebanyak 80 peratus sejak tahun 1950-an kerana pengambilan telur-telur penyu untuk kegunaan manusia.
Bahkan jika kita lalai dan alpa dalam melindungi haiwan marin terancam itu tidak mustahil ia akan pupus dari perairan negara sehingga mengakibatkan generasi akan datang hanya mengenali penyu melalui gambar-gambar sahaja.
Menyedari ancaman terhadap survival hidupan marin itu, satu kempen Egg=Life (Telur=Kehidupan) telah dilancarkan sejak hampir setahun lalu oleh badan bukan kerajaan, Dana Hidupan Liar Malaysia (WWF).
Program tersebut bertujuan mendapatkan sejumlah 40,000 tandatangan daripada orang ramai bagi membantu menyokong survival penyu.
Antara gesaan kempen itu termasuklah mengharamkan pengambilan dan memakan telur penyu serta penjualan mana-mana bahagian hidupan marin tersebut.
Kempen itu diharapkan dapat menjana sokongan terhadap penggubalan undang-undang mengharamkan penjualan dan pengambilan semua telur penyu di Malaysia sekali gus menjadi titik tolak sokongan padu orang ramai terhadap usaha menyelamatkan khazanah marin tersebut daripada pupus.
Selepas tamat tempoh kempen tersebut pada bulan September tahun lalu, apa yang mengejutkan kempen WWF itu mendapat sambutan hangat daripada masyarakat negara ini. Daripada sasaran 40,000 WWF berjaya mendapatkan lebih 100,000 tandatangan.
Pengarah Eksekutif WWF Malaysia, Datuk Dr. Dionysius S. K. Sharma berkata berikutan kempen Egg=Life (Telur=Kehidupan) yang telah mendapat sambutan daripada orang ramai pihaknya akan meneruskan kempen perundangan bagi penyu Egg=Life.
"Penggubalan perundangan memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan kerana menurut Perlembagaan Persekutuan, hanya negeri-negeri sahaja mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang mengenai penyu.
"Memandangkan kita (Malaysia) masih lagi sebuah negara yang menjadi tempat penyu bertelur, sudah tiba masanya bagi kerajaan melakukan perubahan sebelum keadaan menjadi bertambah buruk dan penyu pupus di Malaysia," katanya.
Antara perancangan WWF selepas ini adalah menyerahkan satu memorandum mengenai keperluan menggubal undang-undang persekutuan yang komprehensif untuk memulihara penyu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada April ini.
Dionysius menambah di Semenanjung Malaysia, terutamanya di Terengganu kemerosotan kehadiran penyu ke pantai untuk bertelur sangat ketara.
|
|
"Penyu-penyu tersebut terdedah kepada pelbagai risiko kepupusan di perairan negara terutamanya penjualan telur penyu yang tidak terkawal, terperangkap secara tidak sengaja pada peralatan menangkap ikan haram seperti pukat pari dan jala ray.
"Selain itu, pencemaran perairan serta pembangunan di kawasan persinggahan penyu bertelur turut menjadi antara faktor hidupan marin ini berhadapan dengan risiko akan pupus," katanya.
Oleh itu penggubalan satu perundangan yang komprehensif berserta penguatkuasaan ketat dan sumber mencukupi bagi melaksanakan undang-undang seumpamanya amat diperlukan untuk melindungi penyu daripada pupus.
Ia juga diharap dapat membantu survival kehidupan penyu di negara ini daripada ancaman yang ada sekarang dan juga di masa hadapan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: