Tuesday, January 12, 2010

Corat-coret AJL 24


GABUNGAN Siti dan Lan meninggalkan impak besar dalam AJL 24.

Sepanjang 24 tahun Anugerah Juara Lagu (AJL) berlangsung, tidak syak lagi AJL 24 boleh diiktiraf antara yang terbaik dalam sejarahnya. Tidak kira dari persembahan yang kebanyakan penuh dengan gimik, senarai lagu yang bersaing hebat serta produksinya sendiri yang melontarkan idea penuh kreatif dan berani.

Meskipun ada sedikit gangguan ketika persembahan Jay Jay sehingga memaksa siaran dihentikan seketika, itu langsung tidak mengganggu penonton untuk memberi klasifikasi terbaik untuk AJL kali ini.

Diakui semua penyanyi telah memberi persembahan terbaik dan tidak pernah terjadi dalam AJL hampir kesemua penyanyi tampil dengan gimik-gimik yang sarat dengan kreativiti dan mengejutkan.

Bermula dari awal persembahan yang menggabungkan dua pemilik vokal terhebat Malaysia, Datuk Siti Nurhaliza dan Azlan & The Typewriter menerusi lagu yang menjadi juara AJL 23 Lagu Untukmu penonton di Stadium Putra Bukit Jalil sudah mula merasa bahang kehangatan AJL kali ini.


PROP yang menarik tetapi tidak banyak membantu persembahan Akim.

Menonton AJL 24 juga tidak kelihatan seperti menonton sebuah pertandingan sebaliknya seperti menyaksikan sebuah konsert besar padat dengan elemen kejutan yang mengujakan walaupun ada beberapa penyanyi membawa prop yang tidak berfungsi menaikkan momentum persembahan yang dibawakan.

Namun, ramai yang mengakui kuasa band indie kali ini sedikit tenggelam dek kekuatan vokal dan persembahan daripada penyanyi solo berbanding tahun-tahun lalu.

Bagaimanapun syabas buat semua yang terlibat dalam AJL 24 yang dianjurkan TV3 itu, walaupun sepanjang berlangsung AJL banyak spekulasi hangat diperkatakan dari hal sakit Faizal sehinggalah ke isu nombor giliran Tomok yang diberikan kepada penyanyi lagu Bencinta itu.

Terdapat pelbagai perkara menarik yang berlaku sepanjang AJL 24. Kosmo! berkongsi corat-coret AJL 24 bersama pembaca kerana ada antara peristiwa yang berlaku hanya boleh disaksikan penonton di dalam stadium sahaja.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: