Wednesday, January 27, 2010

City kelab tepat

CARLOS Tevez mula melancarkan perang saraf terhadap Manchester United menjelang pertembungan Piala Liga malam ini dengan mendakwa dia berada di "kelab yang tepat" buatnya ketika ini.

TEVEZ...undang kemarahan pemain dan penyokong United.
TEVEZ...undang kemarahan pemain dan penyokong United.

CARLOS Tevez mula melancarkan perang saraf terhadap Manchester United menjelang pertembungan Piala Liga malam ini dengan mendakwa dia berada di "kelab yang tepat" buatnya ketika ini.


Tevez, yang muncul wira dengan dua gol membantu Manchester City mendahului 2-1 ke atas bekas kelabnya sebelum separuh akhir kedua di Old Trafford malam ini, berkata dia tidak pernah berasa diperlukan di bawah pengurus United, Alex Ferguson.


Penyerang City itu, dengan 13 gol dalam 11 penampilan terakhirnya, berkata dia menjaringkan lebih banyak gol berbanding di United kerana akhirnya dia menemui seorang pengurus, Roberto Mancini, yang percaya dengan kebolehannya.


"Sambutan yang saya terima dari saat saya tiba di City amat istimewa," kata Tevez. "Saya berasa diperlukan dan disayangi dan ini amat bermakna buat mana-mana pemain bola sepak.


"Saya fikir saya sudah menunjukkan bahawa saya berada di kelab yang tepat sekarang. Setiap orang tahu bagaimana pentingnya penyokong di kelab ini, jika saya membuatkan mereka gembira, ia adalah satu penghormatan.

"Saya memang ada masa-masa penting di United, tapi saya mahu terus memandang ke depan. Saya berasa bagus secara fizikal dan persembahan saya juga bagus, tapi saya perlu menyanjung rakan sepasukan baru saya." Tevez akan menjadi tumpuan utama malam ini yang mampu menjadikan perlawanan itu lebih menarik dan tegang dan bukan setakat kerana rekod jaringan luar biasanya sejak akhir-akhir ini.


Pertengkarannya dengan Gary Neville pada separuh akhir pertama, yang mana dia mengapi-apikan ketua pasukan United itu selepas menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti, pasti mengundang sambutan kurang menyenangkan di bekas kelabnya itu.

Sekalipun penyokong United terdesak untuk mendapatkan khidmat Tevez secara tetap musim lalu, keputusannya berpaling tadah ke kelab pencabar setempat dilihat sebagai satu pembelotan.


Tevez, yang dicemuh tanpa henti apabila dia kembali ke Old Trafford bagi pertembungan jiran setempat Manchester September lalu, terus mencetuskan kemarahan dengan mendakwa memenangi kejuaraan bersama City akan lebih bermakna berbanding pencapaiannya dengan United.


"Semuanya berjalan lancar buat kami untuk memenangi trofi tidak lama lagi," kata Tevez. "Jika kami lakukan, perasaan di kalangan pasukan dan penyokong pastinya tanpa sebarang kata-kata yang boleh diluahkan.


"Kami berada di permulaan satu pengembaraan dengan ramai pemain baru, tapi kami sudah bersedia untuk bertindak sebagai sebuah pasukan kuat.


"Pertembungan jiran setempat Manchester adalah satu acara yang istimewa, penuh semangat, pantas dan gila! Saya sukakan bandar raya ini, minat penyokong tempatan terhadap permainan ini amat luar biasa.


"United memiliki kelebihan buat beberapa tahun dan memenangi banyak trofi.


"Tapi saya lebih suka berbicara mengenai projek City, dan perkembangan kami sebagai sebuah pasukan dalam tempoh yang singkat menjadi petanda bahawa masa depan kami boleh sempurna."

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: