
PASTI ada suara-suara bertanya, siapakah kelibat wanita berambut panjang yang kelihatan manis berbaju kurung atau berkebaya di atas pentas sambil memeluk dan memetik gitar? Benar, sesiapa jua yang bertentang mata dengannya pasti lekas tertawan menyaksikan perwatakan lemah-lembut dan peramah itu.
Hakikatnya, wanita yang bernama lengkap Ana Nurhidayah Mohd Raffali atau Ana Raffali, 24, itu merupakan seorang pendatang baru dalam dunia seni tanah air yang berkeupayaan untuk menyanyi, mengubah dan menulis lirik dalam waktu yang sama.
Menampilkan stail tersendiri tatkala melangkahkan kaki di gelanggang hiburan, wanita yang memperjuangkan diri dalam jalur muzik indie itu mengaku cukup selesa dengan penampilan baju kurung atau kebaya semasa menjayakan persembahan mahupun sesi fotografi.
Selain mengenakan pakaian tradisi warisan Melayu, anak muda yang dibesarkan di Kuala Lumpur itu tidak mampu berjauhan walaupun sekejap dengan gitar kesayangan yang dianggap menjadi sebahagian perkara penting dalam kehidupannya.
"Secara kebetulan saya giat bermain gitar semasa menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam dan mengadakan persembahan untuk majlis-majlis tertentu sambil memakai baju kurung atau kebaya.
"Daripada situ saya mula rasa selesa dengan pakaian orang Melayu yang digayakan semasa menyanyi ditambah ia nampak cantik dan sopan apabila dipandang oleh orang lain.
"Kerana itu, saya terus menyuntik ilham menyanyi di pentas dengan memakai baju kurung atau kebaya selepas terlibat dalam dunia seni pada tahun ini," kata Ana ketika hadir ke Studio Utusan, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sambung graduan jurusan Pendidikan Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) itu, setakat ini dia tidak menghadapi masalah untuk mendendangkan lagu hasil nukilannya dengan berpakaian tradisional waima berada di merata-rata lokasi.
"Asalkan tangan dan kaki saya dapat bergerak semasa membuat persembahan, ia sudah memadai tanpa berdepan kesulitan dengan pakaian yang digayakan. Lagipun saya tidaklah sampai membuat aksi yang luar biasa ketika menyanyi di depan khalayak.
"Saya juga tidak kisah untuk menghiburkan audiens walaupun memakai baju kurung dan kebaya pusat-pusat hiburan. Saya tidak lihat ia sebagai isu besar kerana penampilan, tidak mencerminkan sikap sebenar diri. Walau menyanyi di mana-mana sekalipun, saya tidak kisah untuk mengenakan baju jenis ini.
"Pada pendapat saya, kita tidak perlu menjadi seorang yang hipokrit. Bukan hendak cakap saya memakai baju kurung atau berkebaya semasa menyanyi seolah-olah menunjukkan saya terlalu baik.
"Terus-terang, lagu-lagu ciptaan saya memantulkan diri sebenar yang berkisar pelbagai aspek dalam kehidupan. Ini yang cuba saya tunjukkan kepada peminat di samping konsep menyanyi sambil menyarungkan baju kurung atau berkebaya dengan diiringi gitar," jelasnya yang memiliki lebih 30 helai baju tradisional Melayu itu di dalam gerobok kepunyaannya.
Berbicara tentang persediaan anak kesembilan daripada 11 beradik itu untuk berdepan dengan pancaroba dunia seni, Ana menjelaskan soal sedia mahupun tidak bukan menjadi alasan terpenting.
"Kalau hendak diikutkan, kita tidak tahu bila masa sesuai untuk bersedia secukupnya menempuhi asam-garam dunia glamor ini. Jika ikut kata hati sendiri maka sampai bila-bila kita tidak bersedia.
"Ini berkaitan sanggup ataupun tidak. Saya tidak kisah kalau selepas ini dihadapkan dengan gosip kerana bidang seni memang tidak terlepas daripada semua ini. Paling penting, saya berada di sini sebab mahu berkongsi bakat yang dimiliki dengan peminat.
"Sebaliknya saya mahu memperjuangkan minat sebagai penyanyi, penggubah dan penulis lirik dalam industri seni di negara ini," jelasnya yang sarat cita-cita menggunung di dada.

Hati Ana sudah dimiliki
Ketika persoalan sama ada hatinya sudah dimiliki oleh sang kekasih hati mahupun masih bersendirian, Ana tidak sesekali menyembunyikan statusnya umpama sebilangan artis baru yang gemar memutar-belitkan cerita.
"Bagai menjadi lumrah manusia, saya juga tidak ketinggalan untuk ada perasaan mencintai dan dicintai. Sejujurnya, saya sudah ada teman lelaki istimewa yang merupakan kawan baik dikenali empat tahun lalu.
"Tetapi baru-baru ini saja hubungan kami sebagai sahabat baik mula bertukar serius. Tetapi perlukah saya bercakap tentang kisah peribadi kepada umum. Kalau boleh saya mahu orang kenal bakat saya berbanding cerita personal.
"Cuma boleh saya katakan bahawa diri sudah berpunya," luah Ana yang ternyata kurang selesa apabila ceritera cinta dibangkitkan dalam temu bual pada petang itu.

Menjadi anak didik Aidit
Bercakap tentang penglibatannya dalam dunia seni, Ana tanpa berselindung berkata jodohnya dengan komposer popular, Aidit Alfian muncul tanpa diundang. Bahkan tidak terlintas di fikirannya untuk mengutip pengalaman daripada pemuzik berpengalaman seperti Aidit.
Kata Ana, Aidit secara kebetulan melihat persembahan dan hasil karya Ana di laman web YouTube lalu segera mengunjungi laman web sosial MySpace milik Ana.
Aidit bagaimanapun sempat menitipkan kata-kata perangsang kepadanya sebelum mengambil keputusan menjadikan Ana sebagai artis di bawah lembayung Aidit Alfian Records sejak beberapa bulan lalu.
"Siapa saja yang tidak teruja dan tergamam apabila berjumpa dengan individu hebat bak Aidit. Saya menjalani uji bakat ketika dia sedang mencari artis baru di bawah naungannya.
"Nasib menyebelahi saya apabila terpilih untuk menjadi artis syarikat rakaman milik Aidit. Daripada situ, perbincangan demi perbincangan dilakukan untuk menerbitkan album saya dengan kontrak selama tiga tahun.
"Begitupun, Aidit awal-awal lagi sudah menyatakan pandangan enggan melibatkan diri dalam pembikinan album saya kerana mahu saya menunjukkan kemahiran menggubah dan menulis lagu.

"Dia cukup terbuka apabila memberi sepenuh kepercayaan kepada saya untuk menunjukkan bakat dalam karya sulung ini. Tetapi dia tidak lepas tangan begitu saja. Aidit banyak membimbing dan memberi tunjuk ajar kepada saya dalam hal berkaitan seni muzik.
"Setakat ini lagu Hujan Bunga Di Kuala Lumpur ciptaan saya sudah dimainkan di corong-corong radio manakala single terbaru, Cuba Jangan bakal menemui peminat tidak lama lagi.
"Saya bercadang untuk memuatkan sebanyak enam atau tujuh buah lagu dalam album berkonsepkan pop dengan diiringi gitar akustik. Biarpun begitu, ia tidaklah terlalu menjurus kepada satu genre semata-mata.
"Setakat ini saya sedang dalam proses menyiapkan album sulung ini. Untuk permulaan, saya sengaja memuatkan semua lagu dalam bahasa Melayu sebagai tanda pengenalan diri kepada peminat. Insya-Allah, ia akan dilancarkan pertengahan Februari depan," tutur Ana bersungguh-sungguh.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: