Friday, January 8, 2010

Amir Ali takut Maldives hilang


PERUBAHAN iklim dunia diterjemahkan di atas kanvas oleh Amir bagi memberi kesedaran betapa penting menjaga alam sekitar sebaik mungkin.

AMIR ALI yang berasal dari Republik Maldives bukanlah nama besar dalam bidang seni. Namun, lelaki berusia 39 tahun itu cukup takut dan bimbang jika negaranya hilang dari peta dunia dalam tempoh kurang daripada 100 tahun akan datang. Ia berlaku ekoran perubahan iklim dunia yang terjadi pada kadar lebih cepat daripada jangkaan.

Dia yang kini belajar di Kolej Universiti Sunway dalam bidang Seni Halus dan Sains Forensik menzahirkan kebimbangan tersebut di atas kertas dan kanvas. Menggunakan bakat serta ilmu yang dipelajari dalam bidang seni halus, enam keping lukisan bermutu tinggi bertemakan perubahan iklim dunia terutama di negara pulaunya dihasilkan.

Satu daripada enam lukisan berkenaan merujuk kepada potret Monalisa oleh pelukis tersohor, Leonardo Da Vinci yang mencerminkan kesan kemusnahan alam sekitar ke atas lukisan itu. Tiga yang lain menunjukkan kesan dan proses perubahan iklim dunia terhadap hidupan laut, kawasan kutub, kehidupan manusia terutama para nelayan. Manakala baki dua lukisan lagi diberi tajuk Underwater Treaty dan Time & Tide.

Beberapa keping lukisan yang berharga antara RM4,500 hingga RM5,000 telah dibeli oleh Perbadanan Nasional Berhad (PNS) sebagai tanda sokongan serta sumbangan kepada pertubuhan kebajikan sosial dan alam sekitar tempatan.

Ditemui pada pameran lukisan tersebut, Amir berharap agar pameran seperti itu mampu membangkitkan kesedaran lebih tinggi dan perasaan simpati orang ramai terhadap alam sekitar dengan menjalankan kerja-kerja pemuliharaan, walaupun secara kecil-kecilan. Misalnya tidak menggunakan penyembur yang mengandungi bahan kimia klorofluorokarbon (CFC), tidak menjalankan pembakaran terbuka dan menanam pokok hijau di rumah.

Pelihara alam sekitar

"Walaupun tidak begitu pasti sama ada negara saya, Maldives akan benar-benar hilang dari peta dunia atau tidak, tetapi kebimbangan tetap bersarang di hati setiap penduduk Maldives berdasarkan penemuan sainstis baru-baru ini.

"Mereka tidak menolak kemungkinan perubahan iklim akan menyebabkan kami kehilangan negara tempat tumpah darah, jika tiada usaha pemuliharaan alam sekitar dijalankan secara serius," kata Amir.

Dia turut memohon kepada semua warga dunia agar memelihara alam sekitar. Ia bagi mengelakkan anak cucu kita kelak meletakkan kesalahan atas generasi sekarang, sekiranya alam sekitar yang diwarisi oleh mereka tidak mampu memberi kehidupan yang baik seperti mana yang kita nikmati hari ini.

Manifestasi lukisan berkenaan seolah-olah bakal berlaku sekiranya Persidangan Perubahan Iklim Global yang berlangsung di Copenhagen, Denmark Disember lalu gagal menggubal serta melaksanakan beberapa resolusi penting ke arah menyelamatkan bumi dari dimusnahkan oleh perbuatan dan aktiviti manusia atas nama kemajuan.


AMIR (kiri) dan Ahmad Salimin (dua dari kanan) bersama karya milik Amir.

Mungkin itu sahaja yang boleh dilakukan oleh rakyat biasa seperti Amir berbanding tindakan lebih signifikan oleh Presiden Maldives, Mohamed Nasheed bersama Naib Presiden dan 11 menterinya yang bermesyuarat di dalam air baru-baru ini. Ia sekali gus mencatat sejarah sebagai mesyuarat Kabinet pertama di dunia dilakukan di dalam air.

Mesyuarat berkenaan yang diadakan pada kedalaman empat meter di bawah laut itu bertujuan menunjukkan kepada dunia tentang bahaya isu perubahan iklim dengan ditemani pelbagai spesies ikan, haiwan dan tumbuhan laut lain.

Ini pastinya dilihat sebagai satu usaha oleh Nasheed dan menterinya untuk menyedarkan dunia bahawa negara mereka kini di ambang bahaya.

Dalam mesyuarat tersebut yang berlaku di sebuah lagun yang dikenali sebagai Girifushi, setelah melakukan selaman selama hampir 10 minit mereka semua lalu duduk di atas sebuah meja mesyuarat yang disediakan. Dengan tanda nama masing-masing diletakkan dia atas meja rundingan, mereka menunjukkan isyarat bagus menandakan berada di dalam keadaan yang baik.

Langkah selamatkan bumi

Kemudian, mereka dihulurkan kertas kalis air untuk menandatangani perjanjian mengenai usaha mengehadkan pengeluaran karbon.

Pada masa yang sama, ribuan aktivis pencinta alam sekitar dari pelbagai organisasi telah berkumpul di Copenhagen bagi menyuarakan kebimbangan mengenai hal ini. Selain mendesak agar pemimpin dunia mengambil langkah sewajarnya bagi menyelamatkan bumi.

Semua lukisan yang menimbulkan kesedaran betapa penting pemuliharaan alam sekitar itu dipertontonkan kepada orang ramai di outlet Gloria Jean Coffee Sunway Pyramid milik PNS selama dua hari mulai 12 Disember 2009. Acara turut dimeriahkan dengan penganjuran beberapa acara lain antaranya persembahan muzikal dan pengenalan biji kopi mesra alam.

PNS menerusi anak syarikatnya, Wonderful Lifestyle Sdn. Bhd. mengambil inisiatif menaja pertunjukan itu bersempena Persidangan Perubahan Iklim Global di Copenhagen bagi menunjukkan tanda sokongan usaha pemuliharaan alam sekitar dan memupuk kesedaran di kalangan rakyat negara ini.


KARYA seperti ini diharap membangkikan kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar.

Pembukaan pertunjukan seni mini itu disempurnakan oleh Duta Besar Republik Maldives ke Malaysia, Mohamed Zaki bersama Pengerusi Malaysian International Franchise Sdn. Bhd. (MyFranchise), Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shafie.

Maldives merupakan sebuah negara kepulauan yang wujud hasil daripada rantaian batu karang rendah. Menurut jangkaan, sekitar 1192 rangkaian pulau yang terdapat di Maldives menerima ancaman besar akibat daripada peningkatan jumlah air laut. Sehingga kini, 80 peratus pulau di sana hanya kurang satu meter dari paras laut.

Maldives merupakan antara pulau percutian terkemuka dunia dengan keindahan flora dan faunanya dan menjadi syurga kepada para penyelam skuba dari serata dunia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: