KUALA LUMPUR: Tanpa diketahui sebabnya, seorang lelaki yang menggunakan nama samaran ‘Meor’ dan ‘Alfa’ dipercayai menjadi dalang kepada cubaan memfitnah dan mengeruhkan hubungan cinta pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Zaquan Adha Abdul Razak dengan pelakon jelita, Ayu Raudhah, 25.
Zaquan sebelum ini didakwa mempunyai ‘kekasih gelap’, namun dia menafikannya dan bertegas tidak pernah terfikir menjalin hubungan songsang.
Tembelang individu putar alam itu pecah selepas wartawan Metro Ahad melakukan siasatan sendiri mengenai identitinya yang cuba mengumpan wartawan Metro Ahad supaya mempercayai semua dakwaan terbabit.
Paling mengejutkan, Meor mengaku kepada Zaquan dia adalah wartawan Harian Metro dan pada masa sama mengaku pula kepada wartawan Metro Ahad bahawa dia bertugas sebagai fisioterapi bagi pasukan bola sepak bawah 23 tahun di Majlis Sukan Negara (MSN).
Segala-galanya bermula apabila lelaki lembut itu mengumpan wartawan Metro Ahad dengan maklumat kononnya Zaquan berada di sebuah pusat hiburan bersama kekasih gelapnya yang disebut sebagai Alfa.
‘Hebat’nya si lelaki itu, dia mengetahui serba-serbi pakaian dipakai Alfa daripada atas hingga ke bawah dan bila Alfa keluar dari rumah.
Sandiwaranya berterusan apabila hanya dalam tempoh seminit mendakwa sudah berada di pusat hiburan itu, walaupun sebelumnya mengaku dalam tren Transit Aliran Ringan.
Wartawan kemudian cuba bertemu lelaki itu tetapi dia memberi pelbagai alasan, malah tidak mengangkat panggilan telefon dan mengambil masa lama untuk menjawab SMS.
Paling melucukan, dia menggunakan taktik paling bodoh apabila beria-ia mahukan wartawan mengambil sampul yang didakwanya mengandungi gambar intim Zaquan dengan lelaki yang disembunyikan di bawah sofa di kelab terbabit.
Kemuncaknya, lelaki yang mengaku Meor itu rupa-rupanya individu yang didakwa sebagai Alfa selepas dibuktikan dengan cubaan panggilan telefon kepada Meor yang dibuat wartawan.
Meor dipercayai tidak menjawab panggilan itu kerana enggan sandiwaranya terbongkar jika wartawan memintanya mengenal pasti Alfa.
Ketika itu, wartawan berada bersebelahan dengan individu yang didakwa sebagai Meor dan Alfa itu.
Cubaan kali kedua menghubunginya, dia cuma mendiamkan diri tetapi berada di pusat hiburan itu berdasarkan suara latar bunyi muzik yang kuat.
Usaha wartawan untuk mendekatinya gagal selepas dia menghilangkan diri.
Ketika dimaklumkan berkaitan perkara dialami wartawan Metro Ahad, Zaquan nyata terkejut dan menghela nafas panjang kerana tidak sangka cuba difitnah sedemikian rupa.
“Saya tidak pernah berjumpa atau mengenali individu dengan nama Meor atau Alfa. Saya juga tidak berkunjung ke pusat hiburan terbabit untuk menyambut tahun baru, sebaliknya tidak keluar ke mana-mana pun.
“Saya juga ada dihubungi Meor yang mengaku wartawan Harian Metro meminta saya mengaku menjalin hubungan sejenis. Pemeriksaan mendapati lelaki terbabit bukan wartawan Harian Metro dan isu hubungan sejenis itu benar-benar memeranjatkan keluarga, khasnya ibu serta ayah yang kurang sihat ketika ini,” katanya kesal.
Zaquan turut memaklumkan dia dalam perancangan untuk mengambil tindakan seperti membuat laporan polis terhadap fitnah dihadapinya supaya siasatan dapat dilakukan bagi mengenal pasti siapa yang benar-benar bertanggungjawab dalam kekecohan itu.
“Ia bukan isu peribadi lagi dan saya mahu individu terbabit bertanggungjawab penuh terhadap apa yang berlaku. Saya tidak mahu dijadikan bahan fitnah semata-mata mahu memuaskan hati segelintir individu yang mungkin menyimpan perasaan tidak puas hati pada saya.
“Saya juga berharap supaya isu ini segera reda kerana fitnah dihadapi itu menekan jiwa, malah membuatkan kehidupan peribadi saya serta keluarga tidak tenteram,” katanya.
Sementara itu, Ayu tidak terlalu memikirkan mengenai dakwaan mengatakan Zaquan mempunyai kekasih gelap dan bernafsu songsang, namun tidak menyangka ada individu sanggup memburukkan Zaquan.
“Saya kenal Zaquan. Sebab itu saya tidak percaya dakwaan berkenaan. Bagaimanapun, jika dia dikaitkan dengan wanita, saya pasti terasa hati kerana Zaquan sering diburu ramai gadis.
“Sejak bergelumang dalam dunia seni, pelbagai perkara sudah saya lalui. Masyarakat boleh berkata apa saja tetapi hakikatnya kontroversi berkenaan tidak benar,” katanya.
Menurut Ayu, dia sedih kerana keluarga Zaquan menerima tamparan hebat kesan daripada fitnah dilemparkan lelaki terbabit.
“Ibu bapa mana tidak kecewa apabila cerita tidak elok dikaitkan dengan anak mereka. Tambahan pula, ia terus menerus menjadi bahan bualan ramai,” katanya.
Di akhir perbualan, Ayu berpesan kepada lelaki terbabit supaya tidak lagi menabur fitnah.
“Cukuplah dengan segala penipuan yang dilakukan itu. Saya tidak tahu mengapa dia sanggup melakukan perkara ini. Apakah kepentingan terhadap dirinya jika cerita itu disiarkan?
“Selepas puas difikirkan, saya tidak tahu mengapa ada individu sanggup memporak-perandakan kehidupan kami, lebih-lebih lagi ia mampu menjejaskan semangat dan karier Zaquan. Harap-harap ‘si dia tu’ bertaubat secepat mungkin,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: