Monday, March 2, 2009

Angan-angan Mawi di bumi Korea

BERCUTI bulan madu ke Korea Selatan pada 17 hingga 22 Januari lepas memberi kenangan manis buat Mawi dan isteri tercinta, Ekin.

Nama pun bulan madu, sudah tentu banyak perkara indah dilalui mereka sepanjang percutian yang ditaja khas oleh Pertubuhan Pelancongan Korea Selatan itu.

Melawat ke tempat-tempat menarik, ia juga dimanfaatkan sepenuhnya oleh Mawi dan Ekin atau nama sebenarnya Nora'asikin Rahmat untuk mendalami hati budi antara satu sama lain selepas bergelar suami isteri pada 20 Disember lalu.

Masakan tidak, kehidupan sebelum dan selepas berkahwin pastinya tidak sama dan inilah masanya mereka berkenalan dengan lebih rapat serta berkongsi perihal masing-masing.

Namun begitu, percutian Mawi dan Ekin di Korea Selatan bukan hanya sekadar bulan madu tetapi membuka pintu kepada mereka untuk menerokai peluang menjalankan perniagaan di sana khususnya restoran makanan halal.

Idea untuk membuka restoran tersebut tercetus selepas kedua-dua mereka melalui episod perit mencari makanan halal sepanjang bercuti di negara yang cukup terkenal dengan makanan kimchi itu.

"Memang ada angan-angan untuk membuka restoran Muslim di Korea Selatan kerana memang susah hendak mencari makanan halal.

"Perkara ini sudah saya bincangkan bersama Tourism Malaysia yang beribu pejabat di sana,'' jelas Mawi ketika hadir pada sesi fotografi di studio Utusan, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mawi yang ditemani Ekin berkata, angan-angan untuk membuka restoran makanan halal di Korea Selatan juga adalah disebabkan oleh peningkatan kedatangan rakyat Malaysia ke sana saban tahun.

"Agak terkejut jugalah apabila saya diberitahu oleh Tourism Malaysia bahawa tahun lepas sahaja, seramai 80,000 rakyat Malaysia berkunjung ke Korea Selatan.

"Jumlah itu dijangka meningkat. Inilah masanya saya mencari peluang untuk membuka perniagaan di sana,'' jelasnya.

Menurut Mawi, selain perancangan itu, dia dan Ekin juga merancang untuk menguruskan butik busana Muslim yang kini sedang dalam proses mencari lokasi bersesuaian iaitu sama ada di Kuala Lumpur atau Johor Bahru.

Dalam bidang seni pula, karier Mawi masih berkembang dan kini sedang sibuk mempromosikan album baru berjudul Allah Habeebi di samping terlibat dalam menjayakan persembahan di konsert-konsert.

Turut diundang berlakon dalam filem Magika terbitan KRU Studios, ia membuktikan betapa populariti Mawi masih berada di atas biarpun sudah berstatus suami orang.

Mawi juga bakal terlibat untuk program Langkah Mawi World musim kedua pada April nanti dan penggambaran akan dijalankan di Sepanyol serta Australia.

Menariknya, Ekin juga akan bertindak selaku hos jemputan untuk beberapa episod dan ia menjadi detik bulan madu kedua bagi mereka.

Cerita tentang Allah Habeebi

Sementara itu, diajak berbicara tentang Allah Habeebi, Mawi menjelaskan bahawa album yang mula menjalani proses rakaman pada Ogos tahun lalu itu merupakan penyambung kepada album Qasidah yang pernah dilancarkan lebih dua tahun lepas.

Ujar Mawi, untuk Allah Habeebi, album itu telah diproses di New York, Amerika Syarikat dengan kos RM100,000 bagi menghasilkan kualiti bunyi lebih baik.

"Alhamdulillah, ia mendapat sambutan menggalakkan sejak dipasarkan awal bulan ini. Pelancaran album Allah Habeebi pula akan dilakukan tidak lama lagi.

"Sehingga kini, ia telah mencecah jualan sebanyak 10,000 unit.

"Allah Habeebi memuatkan lapan buah lagu dengan dua daripadanya adalah lagu lama yang dinyanyikan semula iaitu Seroja dan Tola'al Badru Alaina,'' katanya.

Lagu-lagu lain yang dimuatkan adalah Allah Habeebi, Hijab, Serulah Namanya, Sujud, Wal-Asri dan Teman Hakiki.

Jelasnya, menerusi album itu, ia merupakan detik pertama kali dia bekerja dengan Farihin selaku penerbit eksekutif album berkenaan dan juga KRU.

"Farihin cukup teliti daripada segi vokal dan sebutan. Begitu juga KRU, kami berduet menyanyikan lagu Sujud.

"Dalam album ini juga, saya turut mencipta lirik untuk lagu Hijab. Ini adalah lagu kedua ciptaan saya. Makan masa dua ke tiga hari juga untuk menyiapkannya,'' katanya.

Apa kata Mawi tentang Mas AF2?

Menginjak ke topik lain, Mawi tidak lepas ditanyakan tentang nasib Mas, bekas pelajar Akademi Fantasia musim kedua (AF2) yang dikatakan tertekan kerana kelewatan penghasilan album.

Mawi memberitahu, seniornya itu perlu bersabar kerana ini adalah sebahagian daripada ujian serta cabaran seorang artis.

"Ramai lagi bekas pelajar AF yang mengharapkan album tetapi tidak dapat. Ini adalah rezeki masing-masing.

"Saya harap mereka bersabar," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: