IPOH – Pelumba legenda kebangsaan, Wazi Abdul Hamid memilih motosikal berkuasa rendah atau lebih dikenali kapcai bagi menunaikan ibadah haji tahun ini.
Wazi, 45, bersama lima lagi rakannya, Meor Azhar Meor Raflan, 43; Hanapiah Mat Nor, 50; Azman Baharudin, 52; Othman Darus, 49, dan Mohd Hafizuddin Zulkarnain, 25, yang juga penunggang berpengalaman akan mengembara selama 35 hingga 45 hari ke Tanah Suci Makkah sempena program Ride To Hajj 2016 yang dijadualkan bermula 29 Julai ini.
Menurutnya, pengembaraan itu bakal merentasi lapan negara melibatkan Thailand, Myanmar, India, Pakistan, Iran, Jordan, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi.
“Alhamdulillah, akhirnya impian kami sejak sekian lama ini bakal tercapai. Terima kasih kepada semua kelab motosikal pelbagai jenama dari seluruh negara yang hadir memberi sokongan untuk program ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri anjuran Ipoh Bikers di Ipoh, baru-baru ini.
Dalam majlis sama, Kelab Motosikal Santai Berkuasa Tinggi (FRB) dari Sungai Petani turut memberi sumbangan amal sebanyak RM2,120 kepada Wazi sebagai persediaannya untuk kembara ini.
Wazi berkata, perjalanannya bersama kelima-lima rakannya itu sebenarnya lebih kepada usaha yang bersifat kerohanian.
“Laluan yang mencabar dan cuaca yang panas akan kami cuba tempuhi bersama-sama hanya kerana ingin memenuhi impian sejak sekian lama untuk ke Tanah Suci Makkah atas dasar iman dan amal selain menyaksikan keindahan alam ciptaan ALLAH SWT.
“Apa pun, kami hanya mencari keredaan ALLAH SWT dalam perjalanan kembara ini,” katanya.