WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Isteri Presiden Amerika Syarikat (AS), Michelle Obama akui lebih tujuh tahun tempoh keluarganya di White House itu sudah mencukupi.

Menurutnya, segala keistimewaan dan kemewahan yang dinikmati selama ini bakal diganti dengan kebebasan.

"Tahu tak, perkara itu (servis bilik 24 jam) memang bagus tapi kebebasan yang kami akan dapat sebagai pertukaran dengan keistimewaan dan kemewahan yang kami terima selama ini...tujuh tahun setengah itu sudah cukup.

"Saya boleh buat keju panggang sendiri," katanya dalam program 'The Late Late Show With James Corden'.

Sebelumnya, beliau diajukan soalan oleh pengacara, James tentang kerinduan yang bakal dirasainya apabila meninggalkan White House nanti.

"Anda akan rindukan servis bilik 24 jam? Contohnya, saya nak makan keju panggang jam 3 pagi," tanyanya yang disambut ketawa oleh Michelle.

Program ini dirakam dari dalam sebuah kereta yang dipandu sendiri oleh James mengelilingi White House.

Menurut Michelle, beliau akan merindui keluarga di White House yang ditemuinya setiap hari.

"Saya akan rindukan orang-orang di sini (White House). Mereka ini orang yang anda jumpa setiap hari, mereka bantu anda, mereka sayang anda dan kita kenal keluarga mereka...jadi, untuk meninggalkan mereka yang anda jumpa setiap hari, memang sukar," katanya.

Michelle turut berkaraoke dan menari pada segmen 'Carpool Karaoke' termasuk lagu 'Signed, Sealed, Delivered' - Steview Wonder, 'Single Ladies' -Beyonce serta 'Get Ur Freak On' - Missy Elliott di mana Missy turut membuat kemunculan pada saat-saat akhir di dalam kenderaan yang mereka naiki.

Obama bakal meninggalkan White House susulan perkhidmatannya yang bakal berakhir November depan.