MANILA - Bekas Presiden Filipina, Gloria Macapagal Arroyo mendakwa beliau menjadi mangsa penganiayaan politik, susulan pembebasannya dari tahanan selama hampir lima tahun atas tuduhan rasuah.

Dalam kenyataan awam pertama sejak dibebaskan dari hospital tentera Khamis lalu, selepas Mahkamah Agung menggugurkan tuduhan terhadapnya, Arroyo menyifatkan penahanan ke atasnya adalah tidak adil.

Mahkamah mendapati bukti tidak mencukupi untuk menuduh Arroyo mengambil AS$8 juta (RM33 juta) daripada dana sebuah program amal semasa beliau memegang jawatan itu antara tahun 2001 dan 2010.

"Semua perkara yang menggunakan kuasa politik untuk menganiaya musuh politik perlu dihentikan. Saya mahu menjadi mangsa terakhir. Apa yang berlaku kepada saya tidak wajar berulang kepada musuh yang lain," katanya kepada televisyen ABS-CBN.

Arroyo dipenjarakan pada 2011 di bawah pentadbiran bekas presiden, Benigno Aquino, namun beliau ditawarkan pengampunan oleh Presiden baharu Filipina, Rodrigo Duterte.

Bagaimanapun, Aquino dalam satu kenyataan mempersoalkan keputusan Duterte membebaskan Arroyo selain mendakwa wanita itu perlu bertanggungjawab kerana menyalahgunakan dana untuk golongan miskin.