Friday, July 29, 2016

'Tak Sangka Kami Sakit Pun Sama-Sama' - Normala Omar



Zulkifli mencium tangan isterinya, Normala. 
SHAH ALAM: Berat mata memandang, berat lagi bahu memikulnya merupakan gambaran yang dapat disimpulkan bagi pelakon Datuk Zulkifli Zain, 70, dan Datin Normala Omar apabila keadaan kesihatan pasangan itu yang semakin merosot ketika ini.
Normala, 58, yang ditemui dirumahnya pada Rabu bagaimanapun reda dengan ketentuan Allah terhadap kemalangan menimpanya baru-baru ini disaat suaminya diserang penyakit angin ahmar pada Januari lalu.
Menjelaskan keadaannya, Normala berkata, kaki kirinya patah akibat terjatuh daripada katil pada Ramadan lalu sehingga menyebabkan dia tidak boleh bergerak untuk menjaga suami.
"Saya terima apa yang berlaku ini sebagai dugaan dan ujian buat kami sekeluarga.
"Saya tidak sedih kerana sedar ada insan yang lebih teruk dugaannya daripada apa saya dan suami hadapi ini.
"Saya bersyukur sekurang-kurangnya kami masih diberi peluang untuk hidup bersama dan saling memberi kekuatan untuk pulih," ujarnya.
Normala ditemui di kediamannya di Denai Alam, di sini, Rabu.
Normala tidak dapat bergerak kerana kakinya patah akibat terjatuh dari katil pada Ramadan lalu.
Terdahulu, Zulkifli pernah dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 18 April lalu selepas diserang penyakit jantung.
Pelakon Anakku Sayang itu terlebih dahulu diserang angin ahmar yang mengakibatkan beliau lumpuh separuh badan.
Dalam pada itu, Normala berkata, gelaran pasangan romantik yang diberikan kepada mereka benar-benar memberi pengertian paling mendalam kepada hubungan yang dibina lebih 40 tahun lalu.
"Ramai yang kata kami pasangan paling romantik dan sehati sejiwa, tetapi tidak sangka sampai sakit pun sama-sama malah pergi dapat rawatan di hospital pun sama-sama.
"Kaki saya patah sebelah kiri dan kaki dia lumpuh sebelah kiri juga.
"Pada saya ini adalah kerana kasih sayang kami ikhlas antara satu sama lain," ujarnya.
Sementara itu, bercakap mengenai keadaannya, Normala berkata, dia kini sedang giat menjalani rawatan fisoterapi dan dijangka dapat kembali berjalan dalam tempoh enam bulan.
"Kaki kiri saya patah dan kini saya sedang menjalani fisoterapi dan doktor beritahu dalam masa tiga bulan saya boleh bertapak.
"Untuk kembali berjalan Insya-Allah dalam tempoh enam bulan akan pulih," ujarnya.
Freddie menyampaikan sumbangan kepada dua artis veteran ini.
Dalam perkembangan sama, Presiden Karyawan Datuk Freddie Fernandez berkata, pihaknya sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan bagi meringankan beban pasangan itu yang dalam keadaan tidak berdaya buat masa ini.
Jelas Freddie lagi, perhatian wajar diberikan memandangkan Normala dan Zulkifli merupakan artis veteran yang banyak memberi sumbangan kepada industri seni tanah air.
"Karyawan sentiasa bersedia jika mereka memerlukan sebarang pertolongan kerana pasangan itu antara yang banyak memberi sumbangan kepada industri seni tempatan.
"Kita tidak boleh melupakan mereka yang kini berada dalam keadaan kurang berdaya dan sama-sama berdoa agar pasangan sehati sejiwa ini dapat kembali pulih seperti biasa," ujarnya.
Pada kunjungan itu juga, Freddie turut menyampaikan sumbangan kepada pasangan itu bagi meringankan beban suami-isteri itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: