Tuesday, July 26, 2016

Usaha Kekal Keharmonian Negara Tanggungjawab Bersama - DJ Lin




DJ Lin.
KUALA LUMPUR: Penyampai radio Suria FM, DJ Lin melihat usaha mengekalkan keharmonian kaum serta keamanan negara merupakan satu tanggungjawab yang perlu dicapai oleh semua rakyat Malaysia.
DJ Lin atau nama sebenarnya Roslinda Abdul Majid berkata, rakyat negara ini perlu berganding bahu dalam memastikan keharmonian kaum di negara ini dapat dihayati bersama.
"Kita hidup dalam masyarakat berbilang budaya terdiri daripada kaum yang berbeza dan kita perlu mengekalkan semangat ini untuk generasi akan datang.
"Sejak kemerdekaan negara, ibu bapa kita telah banyak berjuang," katanya.
Sebagai tanda kecintaan kepada negara, DJ Lin menggesa rakyat Malaysia untuk mengotakan ikrar yang telah dilafaz dengan mengambil bahagian dalam 'The Anak-Anak Malaysia Walk 2016'.
"Saling menghormati serta persefahaman yang dicapai antara kaum merupakan tunjang utama pembentukan sesebuah negara.
"Ia merupakan aktiviti berjalan kaki buat semua rakyat Malaysia. Ketepikan segala jurang yang ada, ayuh bersama kami menzahirkan semangat cinta terhadap negara," katanya.
'The Anak-Anak Malaysia Walk 2016' dianjurkan bersempena sambutan Hari Kebangsaan yang akan berlangsung di Bukit Bintang pada 14 Ogos nanti.
Ia bertujuan meraikan kepelbagaian Malaysia dalam usaha menggalakkan perpaduan dan persefahaman dikalangan rakyat.
Perjalanan sejauh 3.4 kilometer itu akan bermula dari persimpangan Jalan Imbi iaitu di Jalan Pudu, bekas tapak Penjara Pudu dan akan dirasmikan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohd Amin Nordin Abd Aziz.
Dalam pada itu, DJ Lin yang juga popular menerusi segmen Suria Cinta memberitahu bangga menjadi anak Malaysia.
Malah katanya menerusi program kendaliannya itu dia turut memperkenalkan segmen 'Cari Cinta' yang mana ia membantu pendengar mencari kenalan baharu.
"Kami melihat pelbagai kaum berkenalan menerusi segmen ini dan saya melakukannya dengan hati yang terbuka," katanya.
The Anak-Anak Malaysia Walk 2016 dianjurkan oleh Star Media Group dengan kerjasama EcoWorld.
Penaja lain bagi acara tersebut termasuk Proton, Panasonic, Tenaga Nasional dan YES.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: