Friday, July 22, 2016

Video Dating Terbongkar, Ruhainies Dakwa Diperangkap Suami Adira



Ruhainies nafi ada hubungan istemewa dengan suami Adira iaitu Datuk Adnan (kanan).
PETALING JAYA:Pelakon baharu Ruhainies berasakan dirinya telah diperangkap apabila videonya keluar bersama suami Adira iaitu Datuk Seri Adnan Abu didedahkan.

Ruhainies atau nama sebenarnya Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 24, berkata, dia mengaku ada keluar bersama ahli perniagaan itu pada khamis lalu di sekitar pusat beli belah Bukit Bintang selepas dipelawa oleh Adnan atau lebih dikenali sebagai Datuk Red.

"Ya, itu memang saya, kami ada berjumpa pada Khamis lalu atas urusan kerja dan saya ditemani oleh adik, pembantu peribadi serta beberapa kawan yang lain.

"Namun demi Allah, kami tiada sebarang hubungan istimewa, dia mahu berjumpa saya untuk berbincang tentang tawaran kerja, cuma saya rasa telah diperangkap kerana gambar peluk di bahagian pinggang itu saya tidak sedar pun ia berlaku dan kenapa ada orang merakamkannya jika bukan tujuan untuk perangkap," ujarnya kepada mStar Online.    
 
Adira dan suaminya Adnan mengejutkan media apabila mendakwa sudah berkahwin di Songkla Thailand Disember lalu.

Ruhainies dihubungi bagi mengesahkan gambar dan video yang diterima mStar Online pada Jumaat membabitkan dia dan suami kepada penyanyi Adira Suhaimi. Video berkenaan disiarkan di mStar Online.

Menerusi video tersebut kedua-dua mereka kelihatan mesra sehingga mencetuskan tanda tanya hubungan berkenaan.

Ruhainies berkata, mereka sebelum ini pernah bekerjasama bagi menjayakan sebuah video kormersial sempena Hari Raya Aidilfitri lalu untuk syarikat milik usahawan itu.

"Ramadan lalu saya ada berlakon untuk video kormersial iklan Hari Raya Aidilfitri syarikat dia selepas itu kami ada berbuka puasa dengan Datuk dan isteri pertamanya.

"Selepas daripada projek itu saya tidak berhubung cuma dia sahaja yang sering mesej-mesej ajak keluar. Secara jujur saya menolak keras dan memaklumkan kepadanya yang saya tidak melayan hal tidak berkaitan kerja.

"Sehingga pada Khamis saya setuju berjumpa dengannya kerana dia beritahu untuk berbincang tentang satu projek lain," ujarnya.

Ruhainies berkata, dia berasa kesal apabila menjadi mangsa dan terperangkap dalam rancangan lelaki berkenaan.

Katanya, dia tidak tahu niat sebenar Adnan yang cuba meraih populariti dengan mencetuskan kontroversi.

"Sekali lagi saya tegaskan saya tidak ada hubungan istimewa dengannya dan saya seperti diperangkap oleh dia untuk tujuan kontroversi dan popular dengan cara yang salah.

"Saya menyesal sangat terima perlawaan dia untuk berjumpa pada Khamis lalu sehingga muncul gambar-gambar begini. Saya percaya ada orang lain yang diupah untuk ambil gambar kami seperti sedang bermesra dan sebarkan kepada umum," ujarnya.

Adira berkahwin dengan ahli perniagaan itu sebagai isteri kedua di Songkhla, Thailand yang berlangsung pada 3 Disember 2015.

Sementara itu, Adnan yang dihubungi berkata, dia mengesyaki gambar dan video tersebut dirakam oleh individu yang mempunyai niat buruk terhadap dia dan keluarga.

Katanya, dia tidak mempunyai sebarang hubungan istimewa dengan pelakon Hello Mr Perfect  kecuali berkaitan kerja.



Gambar yang dihantar menerusi email yang didakwa Ruhainies dan Datuk Seri Adnan.


"Kami berjumpa atas dasar kerja sahaja tapi bagaimana pula orang boleh ambil gambar seperti itu? Saya juga tidak ada masa untuk merancang perkara-perkara begini seperti yang dituduh Ruhainies.

"Saya syak ada orang atau musuh yang sengaja ambil gambar begitu semata-mata untuk burukkan nama saya," ujarnya.

Bagaimanapun kata Adnan, dia tidak menolak mempunyai niat untuk berkawan lebih rapat dengan pelakon wanita itu.

Tambahnya lagi, dia juga tidak mempunyai masalah untuk berkahwin buat kali ketiga jika ada jodoh.

"Secara jujurnya saya memang mahu berkawan dengan dia dan tidak salah rasanya kerana dia juga bujang. Saya pula masih ada dua kekosongan lagi.

"Isteri pertama tidak ada masalah kalau ingin berkahwin lagi, cuma dengan Adira sahajalah sukar untuk berbincang kerana kena ikut 'angin' dia dahulu," ujarnya.

Ditanya mengenai hubungan dia dengan Adira setakat ini Adnan bagaimanapun enggan memberi ulasan panjang mengenainya.

"Awak tulis okey je," katanya.

Adira berkahwin dengan ahli perniagaan itu sebagai isteri kedua di Songkhla, Thailand yang berlangsung pada 3 Disember 2015.

Bagaimanapun gambar-gambar Adira bersama suamiya itu di Instagram sudah dipadamkan tanpa diketahui puncanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: