PUTRAJAYA - Tan Sri Abu Kassim Mohamed sebelum menamatkan perkhidmatannya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, mengingatkan pegawai-pegawainya supaya memberikan sokongan sepenuhnya penggantinya nanti.‎

Beliau berkata, walaupun penggantinya itu bukan daripada orang dalam SPRM, namun semua pegawai-pegawainya bertanggungjawab untuk membantu untuk memastikan agenda SPRM diteruskan.

"Saya memohon semua pegawai di SPRM memberi sokongan padu kepada ketua pesuruhjaya yang baharu. Ketua pesuruhjaya baharu adalah bukan daripada dalam dan saya yakin kerajaan akan membuat pengumuman tersebut.

"Walau apapun, adalah tanggungjawab kita untuk membantu dan memberikan sokongan sepenuhnya kepada ketua pesuruhjaya yang baharu. Tanpa sokongan sukar untuk kita nanti maju ke depan," katanya ketika menyampaikan ucapan pada hari terakhirnya dalam Majlis Paluan Berundur di ibu pejabat SPRM, di sini hari ini.

Beliau juga menyeru semua pegawainya agar meneruskan perjuangan transformasi SPRM, khususnya dari segi meningkatkan tahap keyakinan masyarakat terhadap tindakan pencegahan rasuah di negara ini.

"Kajian Persepsi Tindakan Pencegahan Rasuah Rasuah oleh SPRM - Siri 11/2016 oleh Universiti Putra Malaysia menunjukkan paras sokongan masyarakat hingga Mei 2016 berada pada tahap 82.5 peratus berbanding 79.9 peratus pada tahun lalu.

"Perkara yang masih perlu diteruskan peruntukan liabiliti korporat, pindaan Perlembagaan mengenai pelantian ketua pesuruhjaya dan pindaan undang-undang dalam memastikan ia mengikut cadangan dalam United Convention Against Corruption," ujarnya.

Beliau turut berharap kepada 1,900 pegawai SPRM agar tidak berganjak dan terus berjuang memastikan transformasi itu berlaku.

"Pegawai SPRM mestilah memberikan penerangan kepada ketua pesuruhjaya baharu bahawa perubahan membebaskan SPRM dan menjadikan ia agensi pencegahan rasuah terunggul di dunia," jelasnya.

Abu Kassim berkata lagi, menyentuh mengenai siasatan kes-kes SPRM, beliau yakin selepas ini ia terus disiasat secara bebas, telus dan profesional tanpa mengira sama ada kes berprofil tinggi atau kes biasa.

"Pegawai SPRM perlu mengekalkan profesionalisme yang mana siasatan perlu dibuat berteraskan kepada fakta-fakta yang diperolehi dan dikumpul serta akhirnya sebarang cadangan adalah berdasarkan kepada merit kes.

"Nasihat saya agar pegawai dan kakitangan SPRM wajib berpegang kepada sumpah yang dilafazkan bagi mempertahankan maruah serta berjuang untuk rakyat Malaysia," katanya lagi.