JOHOR BAHRU - Polis Johor kini giat mengesan pemilik blog yang mengaitkan nama Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam artikel yang dikeluarkan, baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Zakaria Ahmad berkata, siasatan lanjut juga masih dijalankan dan tindakan akan diambil mengikut peruntukan undang-undang ke atas pihak yang tidak bertanggungjawab itu.

Menurutnya, pihaknya turut mendapat kerjasama Polis Bukit Aman serta pelbagai agensi lain yang berkaitan untuk memperoleh butiran maklumat dari blog berkenaan.

“Kita masih mengesan blog tersebut didaftar oleh siapa dan kemudian tindakan akan diambil mengikut undang-undang.
“Apa yang penting sekarang adalah kenal pasti dahulu siapa pemilik blog tersebut dan siasatan masih diteruskan,” katanya
selepas menyempurnakan Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, semalam.

Mohd Zakaria berkata, beberapa rakaman percakapan turut diambil.

“Selepas kita telah kenal pasti siapa yang terlibat, tangkapan akan dilakukan dan pihak yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan,” katanya.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan dan sekiranya disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Sultan Ibrahim turut menzahirkan perasaan kecewanya berikutan tersebarnya satu kenyataan di laman blog dikenali suarakamibaru.blogspot.my berkaitan kejatuhan ringgit oleh pihak tidak bertanggungjawab yang mengaitkan nama baginda menerusi laman rasmi Facebooknya, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar @officialsultanibrahim.