PONTIAN - Sekali pandang, tidak ubah seperti rumah lama namun siapa sangka rumah kayu yang terletak di Kampung Sungai Kuali di sini, merupakan satu-satunya rumah tradisional masyarakat Bugis yang masih utuh berdiri sehingga kini.
Pemiliknya, Pitah Taha, 52, memberitahu rumah pusaka keluarganya itu berusia lebih 50 tahun dengan binaan keseluruhan rumah daripada kayu.
Katanya, perbezaan ketara di antara rumah lama dengan rumah tradisional Bugis dapat dilihat pada bahagian hadapan rumah yang agak tinggi.
Dia yang juga Ketua Umno Cawangan Sungai Kuali menjelaskan bahagian hadapan rumah dibina tinggi mempunyai banyak tujuan namun apa yang penting melindungi keselamatan penghuni rumah.
"Bahagian hadapan rumah yang tinggi digelar “rumah panggung”. Binaannya juga agak tinggi sehingga seseorang itu boleh berdiri di bahagian bawah rumah.
"Binaan yang tinggi itu bertujuan melindungi penghuninya kerana pada masa dahulu kawasan di sekitar rumah masih lagi hutan dan dibimbangi haiwan liar akan masuk ke dalam rumah.
"Jadi, orang dulu-dulu membina rumah dengan lebih tinggi dengan binaan keseluruhan rumah daripada kayu," katanya.
Pitah memberitahu kebanyakan rumah lama di sini sudah diubahsuai dengan binaan batu-bata terutama di bahagian dapur.
Katanya, demi mengekalkan warisan keluarga, rumah tradisi Bugis tersebut tidak diusik malah jauh sekali untuk diubahsuai.
"Keadaan rumah sama seperti keadaan asal. Semua binaan rumah masih lagi kayu yang sehingga kini kukuh. Ahli keluarga dan penduduk kampung juga meminta supaya rumah tradisi ini dikekalkan," katanya.
Bagi mengekalkan warisan masyarakat Bugis, Pitah dan isterinya Radiah Abdullah menghias rumah tersebut dengan barang-barang antik.
Menurut Pitah, dia sanggup ke Johor Bahru, Melaka dan Perak demi mencari barang antik untuk diletakkan di rumahnya yang menjadi lokasi Homestay Tanjung Piai.
Katanya, dia juga turut memiliki beberapa barang antik seperti radio lama, telefon lama, gromofon dan barang tembaga yang diwarisi daripada bapanya.
"Memandangkan rumah saya menjadi lokasi pelancong yang menyertai pakej Homestay Tanjung Piai, sudah pasti saya mahukan yang terbaik diberikan kepada mereka.
Hiasan barang antik sememangnya menarik perhatian mereka yang rata-ratanya begitu teruja sehingga ada menggelar rumah saya seperti muzium," katanya.
Jelas Pitah, dia akan terus menjaga warisan keluarganya dan budaya masyarakat Bugis untuk kekal bertahan buat selama-lamanya
.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: