KEMASYHURAN bintang paling comel Bollywood, Harshaali Malhotra masih hangat menyinar selepas berlakon dalam filem blockbuster, Bajrangi Bhaijaan tahun lepas dan memikat hati jutaan peminat.
Dalam filem Bajrangi Bhaijaan, pengkritik filem menyifatkan Harshaali sebagai 'watak utama' dek lakonannya yang 'terlalu berkesan' dan 'menyamai bakat bintang Bollywood terkenal seperti Salman Khan dan Kareena Kapor.
Bajrangi Bhaijaan merupakan 'debut' Harshaali ke pentas layar besar walaupun sebelum ini pernah berlakon dalam drama Qubool Hai, Laut Aao Trisha dan Jodha Akbar.
Salman Khan sendiri mengakui Harshaali 'membawa tenaga yang menakjubkan' ketika penggambaran filem Bajrangi Bhaijaan bersama si comel ini.
"Saya betul-betul suka setiap saat yang saya habiskan bekerja dengan Harshaali," kata Salman Khan dalam sebuah temu ramah.
Dalam filem Bajrangi Bhaijaan, Salman Khan membawa watak lelaki berhati mulia yang cuba menghantar kembali watak Harshaali, seorang kanak-kanak Pakistan untuk keluar dari India.

"Harshaali sangat cantik dan unik. Apa yang beliau lakukan di layar dan belakang layar adalah menakjubkan dan memukau.
"Saya pasti Harshaali juga adalah kanak-kanak paling cantik dan menawan saya pernah temui," tambah hero pujaan ramai tersebut.
Sebelum Harshaali diterima berlakon dalam filem berkenaan, tenaga produksi mengadakan sesi 'casting' terhadap lebih 5,000 calon.
Rezeki Harshaali yang kini berusia 8 tahun juga melimpah ruah selepas pembabitannya dengan Bajrangi.
Beliau kini sudah muncul dalam berpuluh-puluh iklan, mendapat tajaan dan menjadi duta beberapa produk.