WALAUPUN sudah beberapa tahun melibatkan diri dalam dunia lakonan, namun itu belum cukup menyerlahkan bakatnya.
Nasibnya mula berubah selepas diberi peluang memegang watak antagonis menerusi drama popular Dia Semanis Honey.
Ternyata, watak sebagai Bella benar-benar memberi impak besar buat kerjayanya sebagai pelakon meskipun pada masa sama dia turut mendapat kecaman sepanjang drama tersebut ditayangkan.
“Alhamdulillah, secara jujurnya, saya akui watak ini memberi impak yang besar buat kerjaya saya.
“Sebelum ini lakonan saya tidak menyerlah dan ramai yang tidak perasan kewujudan saya dalam lakonan yang sebelumnya. Tapi kali ini berbeza apabila ramai yang sudah mengenali saya.
“Walaupun drama sudah habis tapi sehingga hari ini masih ada orang bercakap mengenai Bella,” ujarnya kepada Zass baru-baru ini.
Pada masa sama, Nadya Syahera akui gara-gara watak antagonis itu, pelbagai kritikan dilemparkan terhadapnya sepanjang drama ditayangkan.
“Ketika awal drama ini ditayangkan, saya ada membuat hashtag #kecambella dan tak sangka ia menjadi ‘trending’.
“Sejak itu ramai yang mula mengenali saya. Bayangkan pengikut Instagram saya pun meningkat sebanyak 70 ribu.
“Tak dinafikan memang saya teruk dikecam, macam-macam komen negatif dilemparkan. Bukan saja di laman sosial malah jika mereka jumpa saya di luar,” katanya sambil tertawa kecil.
Melihat perkara itu sebagai sesuatu yang positif buat kerjayanya, Nadya merasakan lakonan kali ini cukup berbaloi buat dirinya.
“Saya tidak kisah kalau orang mengenali dengan dengan watak jahat, lagipun ia memerlukan kita bermain dengan emosi. Selama ini kebanyakan watak yang saya lakonkan adalah watak yang lebih kepada menjadi diri saya sendiri.
“Tapi apabila diberi peluang watak jahat, saya cuba berikan yang terbaik,” jelasnya.
Lebih berjaga-jaga
Selepas meraih populariti, pelakon berusia 23 tahun ini menyedari dirinya harus lebih berjaga-jaga dalam semua aspek untuk mengelakkan daripada timbul sebarang isu yang negatif.
“Sebelum ini mungkin saya belum dikenali tapi sekarang ia sudah berbeza.
“Apabila sudah ramai pengikut, ramai juga yang akan memerhatikan perlakuan kita. Kerana itu sekarang saya sudah kurangkan memuat naik gambar yang terlalu peribadi memandangkan tidak semua orang akan sukakan kita apatah lagi yang gemar mencari kesalahan orang lain.