MUSIM keenam siri drama Game of Thrones menarik 8.9 juta penonton selepas tayangan episod akhir musim tersebut 'The Winds of Winter' pada Ahad lepas.
Laporan Money CNN mengatakan jumlah tersebut merupakan peningkatan terhadap musim lalu yang menarik 8.1 juta penonton.
Walaupun begitu, jumlah penonton pada Ahad tidak mengambil kira penonton yang menonton dari servis HBO Go dan HBO Now.
Secara puratanya, Game of Thrones menarik lebih 23 juta tontonan sepanjang kemunculannya, penjualan DVR, khidmat 'streaming' di HBO Go dan HBO Now pada musim ini.
Siri tersebut juga merupakan antara siri televisyen yang paling banyak dicetak rompak.
Sebagai contoh, laman web TorrentFreak merekodkan muat turun lebih dari sejuta kali hanya 8 jam selepas episod akhir musim keenam ditayangkan.
The Winds of Winter mendapat kritikan kritikal dari pengkritik dan penggemar siri televisyen selepas watak Cersei Lannister membunuh lebih dua dozen karekter dalam satu episod.
"Jika dibandingkan dengan tahun-tahun lepas (musim-musim lepas), episod kali ini memang istimewa. Dan seperti biasa kita disajikan dengan kekejaman watak Cersei Lannister sebelum beliau menduduki Iron Throne," kata pengkritik, Alan Sepinwall dari HitFix.
Watak Cersei Lannister dilakonkan oleh Lena Headey.