
Adira
AGAK lama tidak mendengar khabar mengenai penyanyi cantik ini selepas pertunangannya bersama Shahrul Nasrun Kamarudin berakhir di tengah jalan April lalu.
Seperti sengaja melarikan diri dan enggan menjawab mengenai kisah cintanya ketika itu, pelantun Hilang ini bagaimanapun tampak seperti tidak kecewa dengan perpisahan tersebut.
Ini kerana di laman sosial Instagram miliknya, dia sering memuat naik gambar-gambar yang mempamerkan keceriaan dan kebahagiaannya.
Namun, jauh di sudut hati penyanyi berusia 24 tahun ini, dia sebenarnya turut terkesan dengan peristiwa itu.
"Tipulah kalau saya katakan tiada perasaan kesal apabila hubungan yang dibina tidak menjadi seperti yang diharapkan.
"Lagi pun, sudah lama kami bersama, jadi perasaan sayang itu masih ada walau pun seperti sebelum ini," katanya.
Ujar empunya nama sebenar Siti Adira Suhaimi ini, sememangnya dia tidak mahu sesiapa pun melihat kesedihannya.
"Biarlah mereka tidak tahu kesedihan saya. Mungkin mereka melihat saya gembira tetapi tiada siapa yang tahu perasaan dan kedudukan sebenar.
"Bagi saya, apa yang berlaku sudah cukup mengajar saya untuk lebih kuat berhadapan kehidupan kini," katanya.
Lebih dikenali sebagai Adira, jelasnya, ulang tahun kelahirannya 19 September lalu yang sepatutnya menjadi hari bersejarah mereka kini hanya tinggal kenangan.
"Apa nak buat sudah tiada jodoh kami. Jadi hari tersebut hanya diraikan sebagai hari lahir sahaja bukan majlis perkahwinan seperti yang dirancang," katanya.
Bagaimanapun, penyanyi kelahiran Sabah ini cukup bersyukur kerana pada hari itu, kawan-kawannya telah meraikan hari lahirnya sehingga membuatkan dia terlupa dengan peristiwa tersebut.
"Alhamdulillah, mereka sentiasa memberi sokongan kepada saya. Begitu juga keluarga. Saya sudah anggap semua yang berlaku ini sebagai satu ujian," katanya.
Tambah Adira, kejadian gempa bumi di Sabah baru-baru ini juga turut memberi kesan kepadanya.
"Sebenarnya, gempa bumi tersebut turut melibatkan rumah saya, jadi perhatian saya lebih kepada keluarga yang memerlukan berbanding kisah pertunangan itu.
"Sebab itu, saya tidak mahu memikirkannya sangat," jelas Adira.
Belum ada pengganti
Walaupun sudah tidak mempunyai ikatan pertunangan, katanya, buat masa sekarang dia lebih selesa dengan status solo.
"Selain menjaga batas dan adab sebagai wanita, saya juga telah menolak kawan-kawan lelaki yang mahu rapat dengan saya kerana mahu menjaga hati keluarga bekas tunang.
"Biar pun ada yang mendekati selepas putus tunang, tetapi belum sampai masanya lagi saya mahu mencari pengganti," katanya.
Sementara itu, bercakap mengenai penglibatannya menerusi Festival Kesenian Orang Asli dan Peribumi Antarabangsa 2015 yang diadakan pada 23 hingga 25 Oktober ini di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur, Adira memberitahu, dia akan membuat persembahan pada hari tersebut.
"Sebagai suku kaum daripada etnik Kadazan Dusun, saya sangat berbangga kerana diberi peluang bekerjasama menerusi program ini.
"Malah sedikit sumbangan ini diharap dapat menggembirakan mereka," katanya akan menyanyikan dua buah lagu dalam bahasa Dusun.
Majlis sidang media Festival Kesenian Orang Asli dan Peribumi Antarabangsa 2015 tersebut turut diserikan dengan persembahan oleh Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris bersama Sahli Bahbola, Itam Jelmol dan Adira sendiri.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Datuk Norliza Rofli.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: