Md Shah menerima pemeriksaan kesihatan daripada jururawat sementara Ibrahim (dua, kanan) sedang mengambil maklumat daripada Asilah.
PORT DICKSON – Golongan warga emas dan pesakit terlantar berpeluang menerima perkhidmatan pemeriksaan kesihatan secara percuma di rumah melalui inisiatif dilakukan oleh Panel Penasihat Klinik Kesihatan Pasir Panjang (PPKKPP).
Timbalan pengerusinya, Ibrahim Abdullah berkata, melalui program Out Reach, pihaknya bekerjasama dengan doktor serta jururawat Klinik Kesihatan Pasir Panjang turun padang ke rumah pesakit di sekitar Pasir Panjang.
Menurutnya, inisiatif itu bagi memudahkan warga emas mendapatkan rawatan kesihatan tanpa perlu ke klinik.
"Kita faham situasi mereka yang agak sukar untuk bergerak dan pergi ke klinik. Selain itu, kita juga dapat memantau keadaan mereka di rumah,” katanya.
Ibrahim berkata, sebanyak 16 warga emas yang juga pesakit terlantar dari enam kampung termasuk satu taman perumahan menerima perkhidmatan berkenaan.
Sementara itu, Asilah Md Shah, 63, berkata, dia berterima kasih atas usaha dilakukan oleh PPKKPP ke atas bapanya, Md Shah Md Yusof, 86, yang menghidap sakit jantung.
“Abah dah tak kuat sangat, masanya banyak dihabiskan dengan baring sahaja.
"Sekurang-kurangnya bila doktor dan jururawat datang, ia dapat ringankan beban saya untuk hantar abah ke hospital," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: