Wednesday, October 7, 2015

Duit dikikis anak



Duit dikikis anak
Kakitangan JKM turut memanggil pihak hospital untuk memberi rawatan awal berikutan keadaan warga emas terbabit terlalu lemah.
JOHOR BAHRU - Seorang warga emas terpaksa hidup gelandangan dan tidur di kaki lima selepas wang simpanannya lebih RM100,000 habis dikikis anak sendiri.

Menurut Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru, Manayi Ibrahim, berdasarkan siasatan dijalankan, lelaki berusia 70an mengakui tinggal bersama seorang anaknya di Tampoi, sebelum ini.

Katanya, warga emas berkenaan kelihatan uzur dan tidak terurus ketika diselamatkan JKM di hadapan kedai serbaneka 24 jam, di Taman Pelangi, di sini.

"Dia turut membawa sebuah buku bank dan pernah mempunyai tabungan sebanyak lebih RM100,000. Namun dia mendakwa wang itu dikeluarkan oleh anaknya sedikit demi sedikit sejak 2009 tanpa dimaklumkan untuk tujuan apa.

"Lebih menyedihkan lagi, dia diabaikan oleh anaknya dan hidup dalam keadaan tidak terurus," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Disebabkan kecewa, kata Manayi, lelaki itu nekad meninggalkan rumah dan menyewa bilik.

"Oleh kerana tidak mampu membayar sewa bilik, warga emas itu terpaksa tidur di kaki lima dan meminta simpati orang ramai.

"Keadaannya kini stabil dan ditempatkan di Rumah Seri Kenangan (RSK) Johor Bahru," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: