
Wan Yussof dan Ramlah bersama sebahagian anak dan cucu yang turut meraikan kejayaan keluarganya memenangi Anugerah Keluarga Mithali sempena sambutan Maal Hijrah peringkat negeri Terengganu.
KUALA TERENGGANU - Mendekatkan diri dengan Al-Quran dan majlis ilmu merupakan rahsia utama di sebalik kejayaan Wan Yussof Wan Mohammad, 78, mendidik keluarga tercinta ke arah kecemerlangan agama.
Bekas guru agama yang berasal Alor Lintah, Besut itu dinobatkan sebagai penerima Anugerah Keluarga Mithali sempena sambutan Maal Hijrah peringkat negeri Terengganu, kelmarin.
Wan Yussof mengakui sering solat berjemaah dengan keluarga dan berusaha mengelakkan sebarang ruang yang menjurus kepada perkara negatif kepada keluarga, walau di mana jua mereka berada.
Berkahwin dengan Ramlah Salleh, 75, pasangan ini dikurniakan 10 anak berumur 33 hingga 49 tahun dan 38 cucu.
Pasangan suami-isteri itu menzahirkan rasa gembira apabila kesemua 10 anaknya berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi dan berjaya dalam kehidupan masing-masing, malah kini menjawat jawatan penting dalam agensi kerajaan mahupun swasta.
“Dahulu, keadaan ekonomi tidak seberapa dan pendapatan kurang lumayan. Jadi dalam membesarkan anak-anak tidak begitu mewah, namun saya bersyukur serta berusaha sedaya upaya memberi didikan serta pengajian yang terbaik kepada mereka,” katanya selepas menerima Anugerah Keluarga Mithali daripada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu, kelmarin.
Isterinya Ramlah, yang juga seorang pesara guru agama berkata, suaminya agak tegas dalam mendidik anak-anak berbanding dirinya yang menggunakan pendekatan lebih berlembut.
“Suami agak tegas dalam mendidik anak-anak tetapi bukan garang, saya pula lebih berlembut. Jadi, ada keseimbangan. Namun hasrat kami sama, iaitu untuk memastikan mereka berjaya dalam pelajaran.
“Sebab dengan ilmu, termasuk ilmu agama yang lengkap, ia lebih menjamin masa depan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: