Saturday, October 17, 2015

Malin ‘jangok’ menguntungkan



Malin ‘jangok’ menguntungkan
Udang Galah (kiri) bersama tuannya, Nik Amri, King Kemayang di samping Azmi dan naib johan Kategori Salin 4, Kuning Manja milik Rosli Daud dari Jelawat, Bachok.
KOTA BHARU - Menghias biri-biri baka tempatan jenis Malin menjadi satu pelaburan menguntungkan buat pencinta haiwan ternakan itu apabila usaha tersebut dilihat mampu menjana pendapatan hampir 10 kali ganda nilai pasaran normal.

Kebiasaannya, seekor Malin dijual sekitar harga RM450 hingga RM500 tetapi apabila haiwan itu diberi nilai tambah dengan layanan istimewa dari segi penjagaan rapi terhadap tubuh badan dan kesihatan, harganya boleh melambung tinggi hingga mencecah RM3,000.

Pengerusi Kelab Biri-Biri Jangok Kelantan, Mohd Nasrul Muhamad Radin berkata, menyedari perkembangan positif itu, dia bersama ahli kelab dari seluruh negeri menggembleng tenaga menghidupkan semula pertandingan biri-biri cantik yang diadakan di serata negeri ini.

Katanya, penubuhan dan pengaktifan semula kelab biri-biri itu berlandaskan matlamat menghidupkan semula tradisi yang pernah popular satu ketika dahulu, di samping merancakkan lagi industri ternakan haiwan tersebut di negeri Che Siti Wan Kembang.
“Apabila ada pertandingan seperti ini, orang ramai akan membiakkan baka yang baik dan penumpuan terhadap penganjuran pertandingan sudah masuk tahun kelima. Sambutannya sangat baik dan menggalakkan.

“Harga pasaran murah dahulunya, juga sudah meningkat dengan pengeluaran yang bertambah daripada penternak, selain mengikhtiarkan proses kacuk dalam industri ternakan ini,” katanya ketika ditemui pada Pertandingan Biri-biri Cantik sempena Hari
Cakna Rakyat di Tapak Pasar Binjai, di sini, semalam.


Kos penjagaan tidak rumit

Sementara itu, seorang penternak dari Kampung Padang Tembesu, Tumpat, Nik Amri Nasir berkata, selama 19 tahun menceburkan diri, industri ternakan biri-biri mampu menjana pendapatan lumayan dengan kos penjagaan tidak terlalu rumit.

“Sekarang saya mempunyai enam biri-biri jantan dan 40 biri-biri betina yang dijadikan induk bagi menghasilkan anak. Cara penjagaannya memerlukan suntikan ubat, vitamin dan makanan yang berharga RM50 satu beg.

“Dulu kalau seekor RM400, sekarang permintaan sangat menggalakkan, dah meningkat antara RM700 hingga RM800 seekor,” katanya yang turut memenangi johan bagi kategori Salin (gigi) 6-8 dengan biri-birinya diberi gelaran Udang Galah kerana tanduk yang sangat cantik.

Seorang lagi johan bagi kategori Salin 4, Azmi Mohamad dari Pantai Kemayang, Bachok, berkata, biri-birinya yang diberi gelaran King Kemayang pernah ditawarkan harga setinggi RM3,000 oleh kenalannya, namun dek kasih sayang menggunung terhadap haiwan itu, dia belum sedia berpisah dengan ternakannya itu.

“Atas dasar minta, saya sudah pelihara biri-biri sejak 15 tahun lalu dan King Kemayang yang berusia dua tahun ini sudah empat kali memenangi pertandingan termasuk satu kali johan pada pertandingan-pertandingan lalu.

“Biri-biri ini saya jaga dengan baik dari segi pemakanan dan memandikannya seminggu sekali menggunakan pencuci rambut. Daki pada tanduknya pula akan disental sebelum dilumurkan minyak supaya berkilat,” katanya.

Selain Udang Galah dan King Kemayang, johan bagi kategori Salin 2 disandang biri-biri berwarna hitam, milik Mohd Nasrul yang diberi gelaran To’on, manakala johan Anak dimenangi Mas Hitam, milik Mohamad Rafi Zakaria.

Dalam pada itu, pengadil, Sahabuddin Omar berkata, 44 biri-biri mengambil bahagian dalam empat kategori pertandingan iaitu Salin 6-8 (usia 2 tahun ke atas), Salin 4 (usia setahun lima bulan ke atas), Salin 2 (setahun ke atas) dan Anak (bawah setahun).

“Cara biri-biri ini diadili dilihat melalui 10 aspek iaitu kecantikan pada tanduk, muka, telinga, roma, copong sawat dan batu sawat.

“Turut diambil kira ialah bentuk ekornya, kegemukan dan dari sudut kebersihan serta gaya yang dipamerkan oleh biri-biri itu,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: