Wednesday, October 14, 2015

Dari budak pejabat ke pengurus



Dari budak pejabat ke pengurus
Abdul Hafiz bersama sijil dan trofi keusahawanan yang diunggulinya.
SIAPA sangka seorang pemuda yang dahulunya bekerja sebagai budak pejabat kini menjadi pengurus di syarikat sendiri.
Abdul Hafiz Abdul Majid, 29 tekad mengubah kehidupannya dan mahu membuktikan kepada masyarakat anak Melayu juga mampu berjaya dalam perniagaan insurans.
Abdul Hafiz berkata, walaupun hanya berlatar belakangkan pendidikan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja, namun usaha gigih dilakukannya membolehkan dirinya memiliki sebuah agensi insurans terkenal di Pulau Pinang.
Anak kedua dari tiga beradik ini menyatakan sebelum mempunyai syarikat sendiri dia pernah bekerja sebagai budak pejabat di sebuah syarikat selepas tamat persekolahan tingkatan lima di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Ahmad Said.
“Sebagai budak pejabat, tugas saya adalah menghantar surat dan polisi kepada pelanggan, hanya pengalaman berkenaan yang saya timba ketika itu.
“Soal cabaran ini usah ceritalah, namun memikirkan saya tidak punya apa kelayakan selain pengalaman yang mahu saya timba saya cuba gagahkan diri,” katanya.
Abdul Hafiz berkata, selepas beberapa tahun bekerja, dia mula berfikir untuk membuka perniagaan sendiri.
“Terdetik dalam hati saya, sampai bila harus saya bekerja makan gaji, di situ saya tekad untuk memulakan perniagaan berasaskan insurans dan bergerak sebagai ejen.
“Waktu itu modal belum lagi mencukupi, jadi saya terpaksa menjadikan rumah saya sendiri sebagai pejabat sementara,” katanya.
Ketekunan Abdul Hafiz membuahkan hasilnya apabila sekitar tahun 2008 dia berjaya mendapatkan sebuah pejabat yang terletak di Sungai Puyu.
“Dalam perniagaan ini tak semua yang kita impikan akan menjadi kenyataan, kadangkala untuk mengecapi sesuatu kita perlu berdepan dengan pelbagai kesukaran.
“Inilah yang dinamakan resam dalam perniagaan, namun semangat yang ada dalam diri  tambahan pula dengan sokongan isteri dan keluarga, saya gagahkan hati untuk majukannya,” katanya.


Pernah kerugian akibat ditipu
Menceritakan pengalamannya, Abdul Hafiz berkata, dia pernah kerugian hampir berpuluh ribu ringgit apabila dia ditipu oleh sebuah syarikat.
Jelasnya, ketika itu dia merasakan seolah-olah dunianya gelap dan harapannya hancur namun dia berusaha bangkit semula bagi memastikan perniagaan itu mampu diteruskan.
“Hampir beberapa bulan juga saya kumpul kembali kekuatan untuk bangun semula, akhirnya setelah beberapa bulan saya berjaya mengatasi masalah tersebut.
“Datang rasa insaf di hati, apa yang kita nikmati ini, harus dijaga dengan teliti. Apa saja yang diuruskan tidak boleh main semborono sahaja, perlu dilakukan dengan penuh teliti,” katanya.
Perasaan tidak mengalah dan berani mencuba kaedah baharu, menyebabkan syarikat milik Abdul Hafiz kini semakin maju.
Menurutnya, perniagaan insuransnya kini menggunakan kaedah trak bergerak dengan menjadikan lori sebagai pejabat sementara. 
“Lori ini saya beli sedikit demi sedikit, di mana ruangan dalam dilengkapi  komputer riba, mesin faks, fotostat, dan kaedah pembayaran melalui debit,” katanya.
Abdul Hafiz berkata, selain menjual insurans, dia turut menawarkan kaunter bergerak untuk pelanggan yang ingin menjelaskan saman trafik.
“Boleh dikatakan dalam negara ini, saya merupakan individu bumiputera pertama sebagai ejen insurans yang menawarkan perkhidmatan pejabat bergerak.
“Alhamdulillah, kalau dilihat dari sudut sambutan  diterima, ramai pelanggan berpuas hati dengan khidmat yang saya tawarkan ini,” katanya.
Abdul Hafiz berkata, kepuasan pelanggan adalah perkara yang paling penting pada dirinya dan tidak boleh dipandang ringan. 
“Pelanggan adalah individu yang penting dalam apa jua perniagaan yang kita jalankan, tanpa mereka mungkin perniagaan kita tak akan maju.
“Dalam hal ini bagi saya, apa yang penting adalah kita cuba penuhkan segala permintaan mereka, kadang kala dalam berniaga, perlu adanya sedikit tolak ansur,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: