Sunday, October 18, 2015

Burung kuang, khazanah negara yang kian pupus



Burung kuang
Burung kuang.
“JANGAN ingat manusia je boleh ada badan sasa seperti ahli bina badan... burung pun boleh, itu cerita Ketua Pusat Konservasi Hidupan Liar, Jemaluang, Nuraida Misfani ketika ditanya mengenai keunikan burung kuang daripada keluarga Phasianidae ini.

Agak kelakar bunyinya. Bagaimana ‘tarian serta bulu berkembang’ boleh diangkat sebagai simbol bagi menunjukkan gagah perkasa burung itu?.

Dalam dunia unggas, inilah cara kreatif untuk memikat hati pasangannya. Selain itu, ia dilakukan melalui kehebatan burung kuang mengembangkan ekor yang menjadi kebanggaannya mengikut rentak tari tersendiri.

“Ini adalah berdasarkan pemerhatian kami. Bulu ekornya yang mengembang seperti kipas itu adalah kesasaannya... dan apabila tiba waktu ini, maksudnya burung kuang dalam tempoh mengawan,” katanya.


Tarian memikat musim mengawan

Memiliki ekor yang panjang serta warna menarik, unggas jantan dalam keluarga burung itu dikenal pasti tergolong sebagai antara tercantik di dunia. Berbanding burung betina, yang bertubuh kecil dan mempunyai bulu kurang menarik serta berekor pendek.

Keistimewaan yang ada pada burung kuang jantan ini adalah kelebihan kepadanya selain kehebatan beraksi ‘tarian memikat’.

Dimulakan dengan menguis kawasan yang telah dikenal pasti daripada segala daun-daun kering dan ranting kayu untuk membentuk bulatan kecil seperti sebuah gelanggang sebelum ia ligat menari.

“Kenapa saya fokus masa mengawan kerana perangai burung ni sangat istimewa pada tempoh itu. Ini kerana, ia hanya akan menari dan mengembangkan ekornya pada musim mengawan saja. Tempoh lain tak akan berlaku.

“Biasanya musim tu berlaku dua kali setahun iaitu awal dan akhir tahun. Cuma, merak hijau yang musim pembiakannya dari April hingga Jun,” katanya.


Spesies terancam

Biarpun demikian, bukan mudah untuk menyaksikan keunikan bulu ekor burung kuang jantan ciptaan Tuhan ini sama ada di mana-mana zoo mahupun habitat asalnya di hutan.

Selain sebagai antara haiwan berdarah panas yang sangat pemalu, taburannya juga berada di tahap kritikal berikutan populasi burung ini semakin berkurang. Malahan, ia telah dikategorikan antara spesies burung terancam di negara ini.

Pembukaan hutan dan pengecilan habitat akibat aktiviti manusia misalnya, antara faktor yang menjurus kepada keruncingan populasinya.

Bagaimanapun, senario itu tidak dipandang ringan sejajar dengan matlamat pelestarian khazanah negara.

Justeru, burung ini telah diberi perhatian sewajarnya apabila ia disenaraikan dalam Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716)-Hidupan Liar yang Diperlindungi Sepenuhnya (Jadual Kedua).


PKHL fokus pembiakan

Usaha melindungi spesies terancam ini tidak khusus kepada pelaksanaan akta itu sahaja. Tetapi, bersifat holistik dengan pewujudan masa depan lebih baik bagi burung itu mempertingkatkan daya potensi survivalnya.

Pusat konservasi antara satu wahana pragmatik dalam misi pencambahan kuantiti burung itu. Malahan, pendekatan ini dianggap sangat penting untuk memastikan burung kuang tidak menjadi antara mangsa lipatan sejarah ekoran kepupusannya itu.

Terletak di Jemaluang, Johor, iaitu 18 kilometer dari bandar Mersing, Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL) ini adalah antara satu projek yang berusaha merealisasikan matlamat itu.

Selain di Jemaluang, terdapat dua lagi pusat serupa iaitu PKHL Sungkai Perak dan Pusat Pendidikan Biodiversiti Bukit Marak, Terengganu.

Untuk makluman, terdapat 19 spesies burung kuang di negara ini tetapi di Semenanjung hanya ada 15 spesies.

“Tujuan utama projek ini adalah bagi pembiakan dalam kurungan (pengurusan secara ex-situ) dan konservasi burung kuang. Ia bertujuan menambah bilangan burung itu dalam kurungan untuk dijadikan stok pelepasan semula ke habitat asal bagi meningkatkan populasi liar di dalam hutan,” katanya.

Ditubuhkan pada 2001, pusat ini hanya memfokuskan burung kuang kerana dikhuatiri pencampuran pelbagai unggas lain boleh menjejaskan usaha pembiakannya.

Ia adalah susulan daripada nasihat doktor veterinar mengenai kemungkinan penularan penyakit seperti Influenza A atau H1N1.


Guna dua kaedah pembiakan

Berkaitan pengurusan pembiakan, terdapat dua kaedah yang digunakan di pusat konservasi ini sama ada semula jadi (ibu haiwan mengeram secara normal) atau melalui inkubator iaitu memerlukan sokongan kerana tidak semua ibu burung itu boleh
mengeram dengan sendirinya. Ada ketikanya ia bertelur, tetapi kemudian dibiarkan begitu sahaja.

“Disebabkan itulah, antara satu inisiatif kita adalah mengambil telur itu dan dimasukkan ke dalam inkubator bagi proses pengeraman,” jelasnya.

Tempoh mengeram bagi tiga burung ini adalah berbeza mengikut saiz telurnya. Burung kuang raya misalnya, memerlukan tempoh pengeraman selama 24 hingga 26 hari dan biasanya telur dihasilkan adalah dua biji.

Manakala, merak pongsu memerlukan tempoh pengeraman selama 22 hingga 23 hari dan telur dihasilkan antara satu hingga tiga biji. Bagi merak hijau pula, kebiasaan telur dihasilkan empat hingga enam biji dan tempoh pengeraman selama 28 hari.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: