
Sopa menunjukkan cara-cara untuk menggunakan mesin menugal nanas.
MENERUSI program Jejak Inovasi di Johor, Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), mengiktiraf seorang bekas tentera, Sopa Yahya, 53, yang mencipta mesin penugal nanas.
Selepas tamat perkhidmatannya sebagai anggota keselamatan pada 1993, Sopa mengambil keputusan untuk mengusahakan tanaman nanas di Kampung Kemin, Muar bagi mengisi masa lapangnya.
Kejayaan terbesar Sopa adalah penciptaan mesin penugal nanas setelah mengalami pelbagai masalah meningkatkan hasil tanamannya.
Walaupun teknologi itu sudah sedia ada di pasaran sejak beberapa tahun lalu, namun dia memberanikan diri untuk memperbaharui dan menaik taraf mesin tersebut menjadi lebih baik dan inovatif.
“Mesin ini menggunakan enjin universal mampu menghasilkan 150 ke 200 lubang dalam tempoh seminit.
“Pengguna perlu mengawal mesin berdasarkan kehendak dan ia akan beroperasi secara automatik menghasilkan lubang nanas,” katanya.
Mesin tersebut memerlukan bahan bakar 1.5 liter petrol setiap jam dan mampu menghasilkan lubang seluas satu ekar ladang dalam tempoh dua jam lebih.
Dalam tempoh singkat, ia mampu mengorek sebanyak 16,000 lubang berbanding menggunakan tenaga manusia yang memerlukan dua bulan untuk disiapkan.
Mesin tersebut dijual dengan harga RM7,000 sebuah yang boleh digunakan untuk tanaman jagung.
“Bagi tanaman berbeza, pengendali mesin hanya perlu menukar ukuran lubang sama ada kecil atau besar bergantung kepada jenis tanaman.
“Saya tidak menyangka penciptaan mesin penugal ini mendapat pengiktirafan kerajaan termasuk Anugerah Inovasi Negara 2012,” katanya.
Kini, Sopa bukan sahaja mengusahakan ladang nanas, tetapi turut mengambil upah menugal lubang di kampung halamannya itu.
Untuk setiap lubang, dia hanya mengenakan bayaran 1 sen sahaja kerana tidak mahu mengambil keuntungan, sebaliknya niat membantu petani lain.
Kaedah tradisional rugi masa, tenaga
Kaedah tradisional rugi masa, tenaga
Mulanya dia mengalami kesukaran untuk menanam benih nanas dan mengambil masa agak lama dengan kudratnya, selain menggunakan cara tradisional iaitu tali dan batang pancang.
“Pada awalnya saya berhadapan dengan kesukaran dalam menanam nanas dan mencari cara untuk meningkatkan produktiviti nanas.
“Jika guna kaedah lama, batang pancang dan tali diperlukan bagi menghasilkan kedalaman dan susunan lubang yang sama saiz,” katanya.
Kelazimannya, proses penanaman benih nanas memerlukan peralatan khas bagi menghasilkan lubang bersesuaian dengan anak benih.
Namun begitu, proses tersebut memerlukan masa lebih lama, tenaga kerja banyak dan pekerja ramai.
“Petani mampu menghasilkan 20 lubang sahaja dalam tempoh seminit.
“Manakala kualiti lubang dihasilkan berbeza mengikut keluasan, jarak lubang dan susun atur tanaman,” katanya.
Bagi mengatasi masalah dihadapi di ladang nanas, Sopa turut menghasilkan pelbagai produk inovasi untuk memudahkan kerja-kerja penanaman seperti alat membaja dan meracun, mata pemotong rumput serta pagar elektrik.
Nasihat Sopa, penghasilan produk inovasi bermula dengan kitaran hidup kita yang sentiasa memerlukan pembaharuan selari tuntutan semasa.
“Sekiranya peluang terbentang luas di hadapan, kita harus merebut peluang tersebut tanpa bantuan orang lain.
“Niat adalah perkara paling penting, ia bukan untuk bantu kita tetapi masyarakat sekeliling memudahkan urusan seharian,” katanya.
Tegasnya, keyakinan diri dan berani untuk mengambil risiko perlu ada dalam setiap individu untuk berjaya.
Bak kata pepatah, manakan mungkin mendapat sagu jika tidak dipecahkan ruyungnya.
Inovasi di mana sahaja
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YIM, Muhammad Aziph Mustapha berkata, kebanyakan anggota masyarakat beranggapan bahawa inovasi berlaku dalam makmal atau pusat penyelidikan sahaja yang dijalankan jurutera, saintis mahupun para penyelidik.
“Mereka menganggap bahawa produk inovasi dihasilkan adalah remeh dan tidak perlu dikomersialkan.
“Tanpa sedari, rakyat Malaysia sebenarnya sangat kreatif dalam menghasilkan produk-produk inovasi,” katanya.
Walaupun ia nampak mudah, Muhammad Aziph berkata, produk inovasi lahir tanpa pengetahuan masyarakat kerana ia menjadi sebahagian aktiviti hidup mereka.
Katanya, proses penghasilan adalah senang kerana ia berkait rapat dengan aktiviti seharian kita.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: