Saturday, March 8, 2014

Tidak Cerewet Buatkan Liza Abdullah Masih Kekal Popular


Liza Abdullah tidak cerewet dengan mana-mana tawaran lakonan yang diberi.
PETALING JAYA: Pelakon Liza Abdullah menyifatkan dia masih lagi mampu kekal dalam industri hiburan tempatan kerana sikapnya yang tidak cerewet terhadap mana-mana tawaran lakonan yang diterimanya.
Liza atau nama sebenarnya Norliza Abdullah 52, berkata, keadaan itu membuatkan dia berasa bersyukur kerana masih lagi diterima peminat-peminat drama Melayu walaupun sudah berusia.
"Selalunya pelakon-pelakon akan berkata mereka lebih senang memilih skrip dan watak. Tetapi tidak bagi saya.
"Ini kerana saya menganggap setiap tawaran yang datang tidak kiralah daripada produksi baru atau lama adalah punca utama rezeki saya.
"Dan sebagai pelakon, menjadi tanggungjawab saya melakonkan watak yang diberi sebaik mungkin walaupun karakter tersebut terlalu klise. Kiranya ia adalah satu cabaran buat diri untuk mewarnai watak tersebut," katanya kepada mStar Online.
Tambah pelakon itu, kerana sikapnya yang tidak cerewet tanpa memilih watak membuatkan dia masih lagi bertahan dalam industri hiburan tempatan sehingga kini.
Dalam pada itu, kata Liza, dia juga mengambil sikap tidak terlalu terbuka menceritakan perihal keluarganya kerana menganggap ia adalah isu yang sangat peribadi.
Malah dia risau, cerita peribadi yang dipaparkan media boleh menggugat kariernya sebagai seorang pelakon.
"Dari dulu lagi sehinggalah sekarang, saya akan memastikan kisah-kisah peribadi tidak diceritakan di mana-mana media sekalipun.
"Kecuali kes cerai saya baru-baru ini , saya tidak dapat nak elak kerana pihak media sudah sedia maklum mengenai kes itu tanpa saya beritahu pun. Tetapi seboleh-bolehnya, saya tidak gemar menceritakan hal peribadi kepada umum," ujarnya.
Liza baharu saja bercerai dengan suaminya Zolkifli Abdul Rahman, 58, pada 10 Januari lalu.
Hasil perkahwinan selama 26 tahun itu, mereka telah dikurniakan dua anak iaitu Zulsyahmi Naqib, 12, dan Zulsyahmi Afif, 10.
Liza yang pernah popular dalam drama Vanilla Coklat bagi siaran TV3 dua tahun lalu merupakan bintang filem ternama sekitar tahun 1980-an.
Antara filem lakonannya ialah Ali Setan, Pagar-Pagar Cinta, Driving School dan Jejaka Perasan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: