|
TAHUN lalu, selepas ikatan kasih yang cuba disemai bersama penyanyi Awi Rafael tidak kesampaian, pelakon Hanez Suraya dilihat lebih selesa untuk berkongsi cerita kerjaya.
Biarpun sebelum ini, dia pernah meminta supaya dirinya diberi ruang untuk tidak ditanya perihal cinta, dalam diam ruang hati pelakon Love You Mr. Arrogant itu rupanya sudah terisi.
Segala-galanya tersebar apabila sebuah laman portal hiburan memuat naik beberapa keping foto dia bersama seorang lelaki yang dipercayai merupakan ahli perniagaan.
Namun, ketika itu Hanez mendakwa jejaka tersebut hanya sekadar kawan. Itu kenyataan yang diberikannya pada September lalu.
Reda seketika gosip tersebut, Hanez memberikan kenyataan mengejut, bahawa dia sudah bersedia untuk mengakhiri zaman bujang pada tahun ini.
Saat dirinya membuka mulut untuk berkongsi kepada umum mengenai hasrat sucinya, timbul pula cerita liar yang mendakwa lelaki yang ingin dikahwininya itu sebagai suami orang.
Macam-macam spekulasi yang timbul. Ketika diasak persoalan mengenai status teman lelakinya itu, pada mulanya, Hanez mengambil jalan selamat. Dia memilih untuk tidak mengiya atau menidakkan.
Namun, tidak lama kemudian, dia berubah fikiran. Mungkin dek 'serangan' pertanyaan bertubi-tubi daripada media, Hanez akhirnya mengaku teman lelakinya itu merupakan seorang duda anak dua. Tidak puas hati dengan cerita Hanez, muncul juga cakap-cakap belakang yang mengatakan Hanez sekadar berhelah. Dia didakwa sebagai perampas suami orang.
Tidak sanggup berdiam diri, pelakon drama bersiri Autumn Di Hatiku itu merasakan dakwaan tersebut memberi satu tamparan hebat buat dirinya. Keadaan tersebut memaksa pelakon berumur 29 tahun untuk tampil membuat sidang media khas bagi menerangkan hal yang sebenar.
"Impak yang saya terima selepas isu itu tercetus sangat besar. Banyak perkara yang perlu diterangkan dan diperbetulkan.
"Takkanlah saya nak biarkan orang menconteng arang di muka sendiri. Sebab itu saya mahu perbetulkan.
"Tunggulah pada hari sidang media itu nanti, mungkin paling lewat pun Rabu depan, hari Isnin (esok) akan saya beritahu. Ketika ini peguam saya masih di Australia," luahnya yang terpaksa menangguhkan sidang media yang sepatutnya diadakan pada Khamis lalu.
Menurut Hanez, dia akui memegang status sebagai seorang selebriti, khalayak lebih cenderung untuk menyalahkan dirinya.
Katanya, tidak adil sekiranya dia hanya mengambil pendekatan berdiam diri tanpa menerangkan situasi yang sebenar.
"Saya tahu apabila jadi public figure, orang lebih cenderung untuk lihat yang negatif sahaja. Tak bolehlah macam itu. Janganlah yang buruk semuanya dihumbankan ke muka artis. Terpulang pada orang nak dengar atau tidak. Apa-apa pun semua akan diberitahu pada sidang media nanti," tutur si pemilik nama sebenar Hanez Suraya Abdul Aziz tegas.
Tambah Hanez, sehingga kini pihak yang melemparkan dakwaan tersebut juga tidak ada langsung menghubunginya untuk berbincang hal berkenaan secara bersemuka.
"Itu yang saya pelik. Saya pun tak ada terima panggilan daripada dia sendiri," katanya.
Biarpun begitu, menurut Hanez apa yang penting dia tahu di landasan mana dia sedang berdiri.
Sungguhpun banyak kata nista yang mungkin terpalit pada dirinya selepas tercetusnya kontroversi itu, apa yang lebih penting dia masih ada keluarga yang sentiasa meletakkan kepercayaan padanya.
"Keluarga memang rapat dengan saya. Mereka tahu saya macam mana. Saya tak kacau kalau tahu dia masih suami orang. Yang penting keluarga saya dan keluarga dia (teman lelaki) semua okey. Tak ada masalah," katanya lagi.
Sama ada berstatus suami orang atau duda, siapa sebenarnya bakal suami Hanez akan terungkai dalam satu sidang media yang dijadual berlangsung selewat-lewatnya Rabu depan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: