Sunday, May 5, 2013
Penampilan dinamik Showdown 2013
SELAMA tiga musim terdahulu Showdown, memperlihatkan rekod cemerlang. Satu-satunya program realiti tarian jalanan itu juga berada dalam kelas tersendiri apabila berjaya meraih pelbagai anugerah antaranya Program TV Popular di Shout! Awards 2010, Program Realiti Terbaik pada Anugerah Skrin 2010 dan 2011 dan Program Realiti TV Terbaik pada malam Anugerah Sri Angkasa 2010.
Pencapaian itu menjadikan program berkenaan patut kekal di skrin televisyen Malaysia, namun tidak bermakna pembikinannya harus statik tanpa pembaharuan. Memasuki musim keempat untuk sesi 2013, program yang berjaya mengembalikan kepanasan tarian breakdance yang memuncak fenomenanya sekitar tahun 1980-an itu kembali dengan format baharu yang bersifat lebih dinamik.
Kali ini, tiada komitmen yang mencecah sehingga tiga bulan pertandingan. Format keseluruhan juga berubah untuk memberi peluang sama rata kepada setiap kru berdasarkan kematangan dan usia dengan memperkenalkan tiga kategori iaitu kategori Junior, Terbuka dan All Stars.
“Sebelum ini ramai peserta uji bakat Showdown terdiri daripada pelajar yang masih di bangku sekolah. Kebanyakan daripada mereka tak boleh beri komitmen dengan jadual pertandingan. Ada juga keluarga yang menghalang sebab mengganggu jadual persekolahan.
“Untuk musim baharu ini, tempoh komitmen untuk keseluruhan pertandingan hanya mengambil masa empat hari,” jelas penerbit Showdown musim keempat, Shazreena Kassim kepada Sensasi Bintang.
Tahun lepas, kru yang menamakan kumpulan mereka sebagai Walawei dianggotai pelajar belasan. Biarpun dianggap sebagai kru cilik namun mereka berjaya lolos sampai ke peringkat separuh akhir. Sebagai informasi, fasa musim ketiga Showdown tahun lepas, sebanyak 50 kru yang hadir uji bakat terdiri daripada peserta yang dalam lingkungan usia tujuh hingga 15 tahun.
“Walawei contoh yang terbaik. Jadi, tahun ini peserta berusia kurang daripada 18 tahun boleh bertanding dalam kategori Junior. Tapi, jika mereka merasakan mereka cukup bagus untuk bersaing dengan kru dewasa, hal itu tidak menjadi menjadi masalah,” tambah Shazreena.
Seorang lagi penerbit Showdown, How Kitvy pula menjelaskan, kelainan kategori yang diperkenalkan kali ini akan memberikan lebih ruang kepada kru Junior.
“Showdown tahun ini juga lebih cenderung untuk menonjolkan skil tarian setiap kru yang bertanding. Rakaman dibuat terus pada sesi uji bakat, tidak hanya pertandingan atas pentas seperti musim terdahulu. Jadi ia akan kelihatan benar-benar seperti pertandingan tarian jalanan,” ujar Kitvy.
Cabaran unit penerbitan
Berbalik kepada tempoh komitmen selama empat hari yang diperuntukkan untuk sesebuah kategori, daripada satu sisi lain, jangka masa sesingkat itu memungkinkan satu cabaran hebat kepada pihak penerbitan sendiri.
“Mengikut format baharu musim ini, uji bakat setiap kategori juga diadakan secara berasingan. Contohnya kategori Junior dan Terbuka yang memulakan uji bakat pada 11 Mei nanti. Rakaman penuh uji untuk kategori Junior itu di hadapan juri akan dibuat pada 19 Mei namun, siaran pertama untuk kategori itu akan disiarkan pada malam 19 Mei itu juga.
“Bayangkan bagaimana pihak penerbitan akan bekerja di unit rakaman dan penyuntingan. Jadi, kami sebenarnya mencabar diri sendiri,” tambah Shazreena.
Uji bakat bagi kategori Junior dan Terbuka sebenarnya akan dijalankan serentak pada 11 Mei pukul 9 pagi hingga 3 petang. Uji bakat akan diadakan di Dewan A, Menara Matrade, Jalan Duta, Kuala Lumpur. Setiap kru yang berminat untuk menyertai uji bakat mesti terdiri dari empat hingga lapan anggota.
Memandangkan program pencarian bakat penari jalanan itu sendiri sudah memasuki musim keempat, elemen-elemen yang berbentuk emosi serta diari latihan tidak lagi diberi fokus untuk tatapan khalayak.
“Fokus kali ini lebih kepada pertandingan. Skil dan kreativiti yang lebih akan ditonjolkan. Konsep kalah mati dipraktikkan semasa uji bakat lagi. Bila sudah dapat lampu hijau pada peringkat uji bakat, kru berkenaan terus layak untuk masuk ke rakaman dan pertandingan peringkat separuh akhir. Sebab itulah tempoh komitmen kali ini lebih singkat,” jelas Kitvy sambil membayangkan Showdown 2013 lebih sarat sifat jalanannya berbanding musim terdahulu.
Selain mengetengahkan kelainan format persembahan serta kewujudan kategori persaingan, Showdown masih mengekal beberapa segmen yang sudah dianggap sebagai tradisi.
“Kami akan kekalkan elemen penyingkiran dalam segmen Battle. Kalau sebelum ini, kru yang tersingkir mesti memangkah kod SMS mereka di papan latar pentas dengan menyembur cat, elemen itu juga akan diteruskan,” kata Shazreena lagi.
Seperkara yang menarik juga, sesi uji bakat Showdown 2013 sebenarnya terbuka untuk kategori Junior dan Terbuka sahaja. Bagi kategori All Stars, ia hanya terbuka untuk kru-kru yang dijemput 8TV tanpa perlu menghadiri uji bakat. Mereka akan terus beraksi di pentas Showcase sebelum mara ke peringkat separuh akhir dan malam kemuncak.
Setiap tiga kru bagi tiap-tiap kategori akan dipilih dan akan beraksi pada pertandingan akhir yang akan berlangsung menjelang 6 Julai nanti.
Menariknya Showdown 2013 juga menawarkan hadiah dan gelaran juara bagi setiap kategori. Juara bagi kategori Junior akan menerima wang tunai bernilai RM10,000 manakala RM5,000 untuk tempat kedua.
Juara kategori Terbuka pula bakal memenangi wang tunai bernilai RM50,000 serta perbelanjaan ke pertandingan tarian peringkat Asia. Naib juara tidak pulang dengan tangan kosong kerana mereka bakal membawa pulang wang tunai bernilai RM20,000.
Untuk kategori All Stars pula, kru yang bakal bergelar juara bakal membawa pulang wang tunai berjumlah RM75,000 di samping perbelanjaan ke pertandingan tarian peringkat antarabangsa bernilai RM175,000. Naib juara pula bakal memenangi hadiah wang tunai RM30,000.
Showdown pernah menyaksikan kru Dem Lepak Boyz sebagai juara musim ketiga, kru Elecoldxhot yang pernah menjadi naib juara pada musim pertama sebagai juara musim kedua manakala Wakaka Crew pula bergelar juara musim pertama.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: