Wednesday, March 6, 2013

Teknologi perlu selari dengan naratif

TULANG belakang di sebalik pembikinan grafik filem Life Of Pi. Dari kiri, Choon Xuan, Nor Faisal dan Woon Bing.


PENGANJURAN anugerah Oscar kali ke-70 menjadi detik bersejarah kepada sutradara Ang Lee, apabila filem arahannya, Life of Pi, melayakkannya menerima Anugerah Pengarah Terbaik.
Kemenangan yang diraih pengarah kelahiran Pingtung, Taiwan itu perlu adalah atas dasar keunggulan orang Asia sehingga mendapat pengiktirafan tertinggi dalam industri perfileman dunia tersebut.
Kegembiraan itu juga harus disambut girang oleh rakyat Malaysia kerana filem berkenaan turut mendapat sentuhan kreatif daripada warga tempatan, khususnya dalam penciptaan magis seni grafik dan pengimejan digital.
Filem adaptasi novel nukilan Yann Martel itu melayari survival hidup watak Piscine Molitor Patel atau Pi apabila terdampar di tengah-tengah Lautan Pasifik bersama empat ekor binatang yang sepatutnya dipindahkan dari zoo milik bapanya.
Dalam mendalami konflik kerohanian Pi yang tercari-cari pedoman hidupnya, penonton filem tersebut juga disajikan keindahan sinematografi dan imej janaan komputer (CGI) yang terhasil daripada kecanggihan teknologi terkini.
“Sukar untuk memilih secara spesifik akan babak dan grafik yang menarik kerana hampir kesemuanya menampilkan kehalusan seni dan teknologi hingga menghampiri kesempurnaan, ibarat difilemkan secara langsung bukan sekadar mainan digital.
“Sebagai contoh, babak seekor ikan paus yang menjulang tinggi di permukaan laut sehingga dapat dirasai percikan butiran-butiran air,” imbas peminat filem teknologi CGI, Kamaruddin Razal, 24.
Tambah Kamaruddin, filem terakhir yang mempunyai teknik CGI terbaik pernah ditonton adalah melalui karya pengarah tersohor, Steven Spielberg iaitu Avatar.
Anugerah utama Oscar
Kehebatan grafik Life of Pi berjaya menggondol dua lagi anugerah utama Oscar menerusi kategori Sinematografi Terbaik dan Efek Visual Terbaik.
Segala pujian yang melambung tinggi tidak tercipta semalaman kerana usaha yang dilakukan di sebalik kejayaan itu melebihi kesanggupan nurani manusia biasa.
“Bayangkan kami berkampung selama lapan hingga 10 bulan untuk menghasilkan grafik yang menyerupai jisim sebenar,” imbas pereka teknikal penyediaan latar belakang (Bg Prep TD), Tan Choon Xuan, 25.

FILEM Life Of Pi berjaya mendapat kutipan yang tinggi dan memenangi anugerah di festival-festival filem.


Menurutnya, segala kerumitan proses itu perlu dilalui walaupun untuk babak yang hanya berlangsung selama seminit daripada keseluruhan cerita.
“Itulah keistimewaan dunia multimedia,” ujarnya berseloroh.
Begitupun tambah graduan Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing itu, semua keperitan mereka hilang selepas filem tersebut dipertonton kepada umum.
Choon Xuan adalah antara 44 orang artis digital yang membawa nama Malaysia dalam pembikinan grafik janaan komputer. Mereka semua bernaung di bawah syarikat antarabangsa, Rhythm & Hues Studios, berpangkalan di Los Angeles, Amerika Syarikat.
Kerja-kerja pembikinan dibahagikan kepada lima lagi cawangan iaitu di Mumbai dan Hyderabad, India; Vancouver, Kanada; Kaohsiung, Taiwan dan Malaysia yang terletak di Cyberjaya.
“Proses penggambaran banyak dilakukan dalam tangki air bersaiz besar. Salah satu tugas kami adalah membuang latar belakang tersebut dan menggantikan ia dengan pemandangan bersesuaian menggunakan perisian komputer,” kata seorang lagi bakat yang bertindak sebagai Bg Prep TD, Nor Faisal Abdullah, 28.
Ketelitian kerja
Tambah Nor Faisal, pembikinan filem stereoskopik 3D memerlukan tata kerja yang sangat teliti kerana mahu menghidupkan watak ciptaan menggunakan teknologi komputer.
“Sebagai contoh, ketika babak Pi dikejar oleh harimau, kami perlu membuang percikan air yang tidak perlu dan babak itu sahaja memerlukan tiga orang pereka menghasilkannya,” jelas pelajar Universiti Multimedia itu.
Bagi pereka teknikal yang pakar dalam matchmove dan pergerakan kamera, Chang Woon Bing, 26, cabaran paling getir adalah ketika membuat babak ikan-ikan berterbangan.
Perincian tepat perlu dibuat melalui pergerakan kamera fizikal yang selari dengan parameter dan kamera digital sebelum dipadankan dalam perisian.
“Pada masa sama, babak tersebut mesti bersesuaian dengan efek yang ditambah,” ujar Woon Bing.
Walau hanya merangkumi tujuh peratus grafik dalam filem itu, ketiga-tiga mereka tetap gembira dan berpuas hati kerana hasil kerja tersebut telahpun ditonton seluruh dunia. Nama mereka turut terpatri bersama kejayaan filem tersebut.
“Bekerja dengan syarikat antarabangsa merupakan detik berharga kepada saya. Banyak pengalaman ditimba merangkumi cara kerja berbeza ketika berada di syarikat lokal.
Di Rhythm & Hues, persaingan secara sihat adalah perkara biasa kerana ia merupakan cabaran untuk melakukan yang lebih baik,” ujar Nor Faisal.
Choon Xuan menambah, bekerja dalam organisasi besar menambah keyakinan dirinya kerana perlu berinteraksi dalam kumpulan yang ramai.
“Sebelum ini saya lebih suka membuat kerja secara bersendirian. Selepas memasuki syarikat ini, saya perlu bekerjasama bersama tenaga kerja lain. Kami saling membantu dan berkongsi kepakaran masing-masing,” katanya.
Pembukaan Rhythm & Hues di Cyberjaya bermula pada tahun 2009 dengan kapasiti pekerja sehingga kini menghampiri 140 orang. Pengurus Senior, Hasnul Hadi Samsudin berkata, hampir 95 peratus merupakan warga Malaysia yang melakukan kerja-kerja sama seperti cawangan lain.
“Saya boleh katakan, bakat anak-anak muda tempatan kita sudah meningkat pada satu tahap yang tinggi kerana penglibatan mereka dalam projek-projek besar.
Setakat ini, mereka telah melakukan 18 buah projek dan beberapa lagi filem yang sedang dalam proses pos-produksi,” ujar Hasnul.

BABAK di tengah-tengah lautan banyak dilakukan dalam sebuah tangki besar.


Antara filem dihasilkan oleh pekerja di Malaysia termasuklah Hunger Games, X-Men First Class dan Bourne Legacy.
Kongsi kemahiran
Kepakaran dan kecanggihan teknologi yang ada turut dikongsi bersama badan-badan korporat dan institusi pengajian tempatan.
“Salah satu aktiviti yang kami lakukan adalah mengadakan sesi latihan selama tiga bulan kepada mereka yang ingin bekerja dalam syarikat. Mereka akan didedahkan dengan cara kerja Rhythm & Hues, malah penyerapan kerja diberikan kepada yang layak.
“Pada masa sama, kami turut mengadakan program pendidikan fakulti yang terbuka kepada pelajar dan pensyarah dari institusi pengajian tempatan. Mereka akan melihat dan merasai sendiri proses pembikinan grafik atau animasi oleh artis digital kami.
“Kami lakukan semua aktiviti ini untuk membantu industri perfileman dan multimedia berkembang selaras dengan kemajuan teknologi,” ujar Hasnul.
Buat masa ini, tambah Hasnul, mereka tidak mengadakan kerjasama dengan mana-mana syarikat penerbitan filem tempatan kerana berasa kurang adil kepada studio grafik di negara ini.
“Lagipun, kami mempunyai beberapa projek sendiri di samping kekangan masa dan tenaga tidak mengizinkan syarikat menerima pelawaan mereka,” jelasnya.
Mujur ada usaha daripada anak watan untuk memperjuangkan bakat dan kepakaran grafik tempatan di bawah jenama lokal.
Kesungguhan itu boleh dilihat menerusi terbinanya KRU Studio Sdn. Bhd. yang dikendalikan oleh tiga adik-beradik iaitu Norman, Yusri dan Edry Abdul Halim. Melalui syarikat itu, mereka telah menghasil beberapa filem menggunakan teknologi animasi dan grafik seperti Cicakman, Hikayat Merong Mahawangsa dan 29 Februari.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: